KUCHING: Penangguhan pendaftaran dan kemasukan semua pelajar UiTM Cawangan Sarawak sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelajar terutamanya yang berada di kawasan pedalaman.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof. Datuk Dr Jamil Hamali berkata, perkara ini disebabkan kekangan kemudahan Internet di kawasan berkenaan.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) buat masa ini menggunakan kaedah terbuka dan jarak jauh (ODL) dan sudah pasti kaedah ini memerlukan pelajar untuk mempunyai capaian Internet yang baik.

“Namun begitu, sesi PdP secara luar talian boleh diadakan bagi pelajar yang mempunyai akses capaian Internet yang terhad seperti menyediakan kuliah prarakaman atau nota bercetak yang dikirim melalui pos kepada pelajar,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Tambahnya, bagi pelajar yang perlu menggunakan makmal, studio dan sebagainya, mereka agak terkesan disebabkan tidak dapat menjalani sesi pembelajaran bersemuka.

Ujarnya, sebanyak 9,345 pelajar peringkat pradiploma hingga sarjana muda di seluruh UiTM Sarawak terlibat dalam penangguhan ini.

Mengulas lanjut Jamil berkata, dalam menghadapi pandemik Covid-19, UiTM mengambil beberapa langkah pencegahan dan penyelesaian untuk menangani dan menghadapi situasi seperti ini jika ia berulang lagi.

“Kaedah PdP telah ditambah baik dengan mengadakan secara ODL, pendaftaran pelajar secara dalam talian dan mengurangkan serta mengehadkan sesi pembelajaran secara bersemuka.

“Kemudahan dan kelengkapan peralatan serta teknologi di dalam kampus ditambah baik selain inisiatif untuk memperkasa prasarana Internet di setiap bangunan di dalam kampus juga telah dilakukan,” jelasnya.

Menurutnya, penularan Covid-19 membuka banyak ruang dan peluang dalam penambahbaikan pengurusan sistem universiti untuk lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi apaapa sahaja krisis dan kecemasan pada masa akan datang.