SIBU: Penduduk di sini gempar menemui mayat seorang wanita yang disumbat di dalam beg pakaian di tepi Jalan Aman awal pagi semalam.

Mayat ditemui orang awam sekitar jam 6.45 pagi.

Menurut sumber di tempat kejadian, semasa ditemui orang awam ternampak beg pakaian berwarna hitam bersaiz besar yang mencurigakan di bawah pokok di tepi jalan tersebut.

Orang awam kemudian menghampiri beg tersebut dan terkejut melihat sekujur tubuh.

Polis kemudian dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.

Pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati ada mayat di dalam beg pakaian tersebut.

Setakat ini, pihak polis enggan mengulas lanjut mengenai butiran mayat terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat tersebut.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

Mayat telah dihantar ke hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

“Sebarang maklumat lanjut akan dapat kita dedahkan sehingga bedah siasat dilakukan,” kata Stanley.