KUCHING: Baki 116 menara telekomunikasi di bawah inisiatif menara telekomunikasi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA300) dijangka siap pada suku ketiga 2021, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya buat masa ini, 184 daripada 300 menara telekomunikasi yang dirancang ini telah siap sejak kerajaan Sarawak melancarkan inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi digital.

“Pada 26 September lalu, saya melancarkan perkhidmatan menara telekomunikasi pertama yang beroperasi sepenuhnya di Luban Ulu, Betong.

“Komuniti luar bandar di sana sekarang akan menikmati perkhidmatan 3G / 4G berbanding dengan perkhidmatan Edge dahulu dan ia akan diperluaskan ke kawasan yang tidak diliputi di seluruh Sarawak melalui inisiatif SMA300 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-4 (IDECS) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.