SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit menyifatkan kematian seorang wanita yang mayatnya ditemui di dalam beg pakaian di Jalan Aman pagi semalam menimbulkan pelbagai persoalan.

Katanya banyak yang perlu disiasat mengenai kes tersebut.

“Mangsa dipercayai berusia sekitar 37 tahun.

Kami mengesyaki mangsa mati di tempat lain dan mayatnya dibuang di sana bersama pakaian yang dipercayai milik mangsa.

“Tidak ada luka di badan dan tidak ada tanda-tanda pergelutan atau senjata yang ditemui di tempat kejadian.

“Sekarang ini, ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh berdasarkan lokasi penemuan mayat di tepi jalan raya.

Kita perlu menunggu hasil bedah siasat.

“Ini mungkin disebabkan penyakit. Mungkin keluarga mangsa menyisihkannya setelah mereka tahu dia sakit.

Terdapat nota yang dijumpai bersama mayat,” katanya semasa dihubungi semalam.

Stanley berkata, pihaknya akan mengesan ahli keluarga mangsa berdasarkan petunjuk daripada nota dan maklumat di tempat kejadian.

Beliau menambah, hanya sebahagian badan mangsa disumbat di dalam beg pakaian ketika ditemui. “Mangsa berbadan besar. Jadi, agak sukar untuk memasukkan seluruh tubuhnya ke dalam beg,” ujarnya lagi.

Dua nota tulisan tangan dalam bahasa Cina turut dijumpai berhampiran mayat mangsa.

Salah satu nota itu mengandungi nombor kad pengenalan mangsa yang menunjukkannya berasal dari kod negeri ’08’.