KUCHING: Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Datuk Ahmad Ibrahim berharap agar Pusat Komuniti Digital (DCC) diperluaskan di kawasan MPP dan Samarahan.

Beliau berkata dengan adanya DCC di kawasan tersebut, ia dapat menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat seperti platform komuniti digital, pusat pembangunan kemahiran dan bakat, penyelidikan dan pembangunan masyarakat, rundingan dan kaunseling, mentor, pusat pertemuan belia, kemudahan kerja/ seminar serta kemudahan internet percuma.

“Sebagai contoh mungkin ada di kalangan masyarakat yang ingin menjalankan perniagaan secara dalam talian, inilah ruang yang harus kita kuasai kerana banyak kelebihannya seperti penjimatan kos, masa dan keluasan jaringan perniagaan.

“Selain itu, teknologi digital juga dapat digunakan bagi tujuan pendidikan buat pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti.

“Cara begini akan dapat mendidik para pelajar untuk menjadi kreatif dan inovatif selain mahir berkomunikasi bagi memudahkan pelajar untuk menyiapkan tugasan serta mendapat pelbagai jenis maklumat dengan lebih cepat dan tepat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran DCC Sungai Maong, di sini hari ini.

Ahmad (tengah) bersama yang lain semasa majlis pelancaran DCC Sungai Maong, di sini hari ini.

Malah sempena majlis dan menerusi DCC Sungai Maong, Ahmad bersama yang lain turut mengikuti perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak ke-4 (IDECS) 2020 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Justeru, beliau berkata amat menyokong penubuhan DCC, yang merupakan salah satu inisiatif Pustaka Negeri Sarawak bagi menyahut Abang Johari yang mahu menjadikan anak Sarawak sebagai komuniti yang celik digital.

Tambahnya ia khususnya kepada masyarakat di luar bandar agar tidak ketinggalan dalam bidang teknologi digital yang selaras dengan Dasar Digital Ekonomi Sarawak.

Selain itu, Ahmad berkata pelaksanaan teknologi digital pada musim pandemik Covid-19 bukan lagi satu pilihan tetapi sudah menjadi keperluan kerana perlunya penjarakan sosial dan fizikal serta keterbatasan pergerakan dalam memenuhi kehendak norma baharu.

“Dalam kita menggunakan platform digital tanpa sempadan ini, haruslah kita sentiasa beringat supaya menggunakan pengetahuan dan kebijaksanaan kita dalam menentukan fakta-fakta dan maklumat yang sahih dan benar yang boleh digunakan bagi mengelakkan kita dari terjebak dengan maklumat atau berita palsu.

“Saya berharap agar DCC ini disambut baik oleh semua penduduk setempat dan diguna pakai dengan bijak untuk tujuan yang betul dan berfaedah,” katanya.

Ahmad berkata pada masa ini, dua buah Perpustakaan Desa di bawah pentadbiran MPP telah dipilih sebagai DCC iaitu Perpustakaan Desa Sungai Maong dan Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa.