HARI ini, Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2020 kembali.

Ia merupakan kali keempat, sejak 2017 Kerajaan Sarawak menganjurkan persidangan ini tanpa gagal.

Cuma kali ini, jumlah kehadirannya dihadkan kepada kurang 500 orang meskipun diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Malah ia dilangsungkan dalam suasana penjarakan fizikal yang ketara, dengan pelaksanaan SOP atau prosedur operasi standard yang ketat akibat Covid-19.

Pun begitu, jumlah penyertaan sebenarnya tidak dihadkan. Ia dibuka menerusi sesi webinar atau persidangan maya, yang penyertaannya melimpah di sempadan negeri, malah ke seluruh dunia.

Ironinya, persidangan secara digital dan maya ini hanya diadakan pada tahun ini.

Sepatutnya ia diadakan sejak 2017 lagi.

Apa-apa yang berlaku hari ini sebenarnya sudah dibayangkan oleh pencetus IDECS, yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika itu.

Beliau membayangkan manusia yang tiada sempadan, dan komunikasi dapat dilakukan secara mudah, bersemuka secara digital dan selamat.

Dengan tema ‘Data dan inovasi memacu kesejahteraan sosial dan ekonomi’, IDECS 2020 membawa bersama tokoh-tokoh yang cukup terkemuka dan arif dalam bidang masing-masing.

Jika pada tahun lalu, peramal masa depan Dr Michio Kaku menjadi tumpuan.

Antara nama besar kali ini termasuklah Pengasas IMD World Competitiveness Centre Stephane Garelli; Pengasas dan CEO Zuckerberg Media Randi Zuckerberg; Pakar Epidemiologi Wabak Berjangkit London School of Hygene and Tropical Medicine David Heymann dan Saintis Data AI Inma Martinez.

Senario pasca-Covid-19 dan perubahan global akibatnya pasti menjadi mauduk utama.

Ini kerana seluruh dunia terjejas dan berubah oleh pandemik ini.

Garelli misalnya akan mengupas tajuk The Changing Global Economic Landscape & Sarawak Transformation in The Post Covid-19 manakala Zuckerberg menjengah AI in the Gig Economy.

Heymann pula mengupas tajuk Significance of Data in Health Pandemic sambil Inma Martinez yang pernah terlibat dalam IDECS 2019 membawa tajuk Data Centre & Innovation Ketika dunia bagai terhenti berdetik, apabila manusia dikekang untuk bergerak, teknologi digital mengambil alih peranan dalam segala-galanya.

Ia dijadikan perkakasan untuk berinteraksi dan berkomunikasi, sambil menggerakkan ekonomi negara melalui perniagaan secara dalam talian.

Ketua Menteri dijangka turut menyentuh perkara ini dalam ucaptamanya, selain menyantuni peranan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak, dalam membangunkan Strategi Ekonomi Pasca-Covid-19, bagi memacu Agenda Pertumbuhan Ekonomi Sarawak untuk menjadi negeri termaju pada 2030.

Beliau pasti menyebut tentang betapa dunia dan negara kita berhadapan tekanan ekonomi yang dahsyat akibat Covid-19 dan perlu bangkit segera.

Ia bukan dongeng kerana Bank Pembangunan Asia memberi gambaran bahawa ekonomi global menyusut sekitar US$5.8 bilion dan US$8.8 trillion, manakala dunia terpaksa mengamalkan norma baharu untuk kelangsungan hidup.

Pada masa yang sama, dunia turut berhadapan ancaman jenayah siber, apabila lebih 80 peratus manusianya menggunakan digital dalam kehidupan seharian.

Suruhanjaya Jenayah Siber Eropah membayangkan kerugian berjumlah US$6.6 trillion pada Disember tahun lalu akibat jenayah ini.

Keselamatan siber bukan sekadar mengenai perlidungan maklumat dan data, malah melibatkan infrastruktur kritikal dan ini termasuk elektrik, air, lapangan terbang, pelabuhan, empangan dan loji nuklear.

Kerana itu, isu-isu ini perlu dibincangkan lebih lanjut menerusi IDECS ini. Ini belum lagi isu keselamatan makanan, pertanian, pendidikan, kandungan kreatif dan sebagainya.

Yang jelas, IDECS merupakan gedung maklumat yang baik dan penting kepada kita.

Rakyat dan Kerajaan Sarawak banyak menerima manfaat daripadanya, dan akan terus menikmatinya.

Dalam IDECS tahun lalu, biarpun Dr Kaku membayangkan teknologi memudahkan kerja manusia dan meringankan beban, namun ia tidak akan dapat menyaingi peranan manusia.

Untuk itu katanya, intelligence capital harus diutamakan.

Tahun ini, berkait teknologi, para peserta dijangka membincangkan tentang perlunya untuk mewujudkan teknologi jalur lebar yang kukuh, selain menjayakan peranan 5G, Cloud, Internet Bendaan (IoT), Kecerdasan Buatan, Immersive Technology dan Cybersecurity secara lebih mendalam.

Biarpun ada pihak yang skeptikal dengan kesungguhan Kerajaan Sarawak menganjurkan acara ini, persetankan pandangan mereka.

IDECS amat penting dan perlu diteruskan untuk membuka minda dan mata generasi muda kita tentang teknologi dan kemahiran yang diperlukan pada masa depan.

Kerana kita terlebih dahulu didedahkan kepada teknologi digital, rakyat negeri ini tidak berhadapan masalah yang ketara ketika Covid-19 melanda 10 bulan lalu.

Kita malah lebih bersedia, malah anak-anak kita mencipta pelbagai aplikasi yang boleh digunakan masyarakat sepanjang pandemik melanda.

Justeru sewajarnya kita berterima kasih kepada Abang Johari dan Kerajaan Sarawak kerana pandangan jauh menganjurkan sidang ilmu ini.

• Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.