BINTULU: Sebuah restoran yang menyimpan dan memiliki daging haiwan eksotik tanpa lesen di Jalan Tanjung Kidurong, di sini diserbu penguat kuasa dalam satu operasi bersepadu Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, dalam operasi bersepadu melibatkan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) jam 9 malam itu telah menyerbu restoran terbabit hasil maklumat awam.

Hasil serbuan, katanya, berjaya menemukan pelbagai jenis daging haiwan dilindungi seperti beruang, lelabi, pelanduk, landak, merejang, tenggiling, ular, kijang, biawak, rusa dan babi hutan seberat 35 kilogram di dalam sebuah peti sejuk restoran terbabit.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan daging eksotik berkenaan dianggarkan berjumlah RM5,000.

Susulan serbuan itu, juga, katanya, tiga wanita tempatan berumur 23 hingga 47 tahun dipercayai penjaga dan pekerja restoran terbabit ditahan bagi membantu siasatan sambil menambah tangkapan dan hasil rampasan diserahkan kepada SFC untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 48(1) Ordinan Hidupan Liar 1998.

Manakala, ketiga- tiga saspek berdepan hukuman di bawah Seksyen 37(2) dan Seksyen 29(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman setahun penjara dan denda RM10,000.00.

Zulkipli, dalam pada itu berkata, pihaknya akan terus bekerjasama membantu SFC memantau dalam usaha membendung pemburuan, pemilikan dan penjualan haiwan liar yang dilindungi.