KUCHING: Adalah satu keputusan yang tidak bertanggungjawab jika Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan tahun ini ketika negara sedang berhadapan peningkatan kes Covid-19, kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Bagaimanapun, beliau berkata jika kes Covid-19 turun secara mendadak dan pola penurunan stabil maka tidak ada masalah untuk PRN-12 Sarawak diadakan pada Disember tahun ini atau Januari tahun depan.

“Asalkan semua pihak bersamasama pastikan segala amalan mencegah Covid-19 dilaksanakan tanpa gagal,” katanya yang dihubungi baru-baru ini bagi mengulas mengenai wajarkah PRN-12 Sarawak diadakan dalam waktu terdekat ketika penularan Covid-19 yang serius sedang melanda negara.

Menurut Awang, Korea Selatan dan Singapura misalnya mampu menunjukkan bahawa Covid-19 dapat diharungi ketika pilihan raya dengan syarat pematuhan amalan dan pelaksanaan diperketatkan lagi.

“Selagi rakyat tidak patuhi langkah pencegahan dan pematuhan, selagi itulah risiko tinggi berdepan Covid-19 tanpa mengira pilihan raya, perayaan atau hari biasa,” katanya.

Kerajaan Sarawak masih mempunyai sembilan bulan lagi sebelum perlu mendapatkan mandat baharu menerusi PRN-12.

Pada 3 Oktober lalu, Malaysia mencatat rekod tertinggi dalam jumlah kes Covid-19 harian iaitu 317 kes, sementara sebanyak 293 kes direkodkan pada hari berikutnya.