ANAK kita rajin atau malas? Itulah yang sering kita fikirkan tentang anak kita apabila berkisar soal belajar.

Berdasarkan pemerhatian, maka ramai ibu bapa menyimpulkan anak mereka rajin berdasarkan ketekunan dan komitmen anak membuat kerja rumah.

Namun bagi saya ia tidak menggambarkan rajin yang sebenar, ibu bapa seharusnya cakna akan perkara lain yang mungkin agak kecil peranannya namun mampu memberikan indikasi bahawa anak sebenarnya ada ciri-ciri pemalas.

Lihat sahaja sikap anak kita selepas makan bersama.

Adakah dia mencuci pinggannya sendiri? Bagaimana dengan baju dan kasut sekolahnya? Apakah mereka sendiri yang mencuci, menyidai dan melipat baju atau seluar tersebut.

Bagaimana pula keadaan bilik tidur mereka? Adakah katil mereka kemas setiap kali bangun tidur? Atau meja belajar mereka berselerakan dengan buku (walaupun rajin menelaah tapi agak malas hendak susun atur meja)

Semua itu memberikan indikasi anak kita ada sedikit ciri-ciri malas.

Ciri-ciri ini jelas bermula di rumah dan boleh merebak perangainya hingga di sekolah.

Jadi ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak anak supaya menjadi rajin.

Proses ini bermula di rumah. Rumah merupakan sekolah pertama untuk anak anak.

Oleh itu ibu bapa yang berperanan sebagai guru pertama buat anak mesti mempunyai sedikit seni mendidik atau pedagogi dalam membentuk sahsiah anak-anak.

Berikut saya kongsikan beberapa tips untuk ibu bapa membantu anak supaya tidak malas belajar.

Imej SQ

Melalui Teladan

Ibu bapa seharusnya menjadi ikutan pertama anak-anak. Oleh itu, dalam bab menjaga kebersihan ibu bapa harus menunjukkan contoh.

Ibu atau bapa boleh mengajak anak-anak bersama-sama mencuci pinggan selepas makan, mencuci baju atau kereta serta mengemas bilik tidur.

Teladan sebegini boleh membina persepsi bahawa hidup dalam keadaan bersih dan kemas itu satu yang amat dituntut.

Insya-Allah anak akan kekal rajin membersihkan pinggan dan pakaian.

Kenali Punca Malas

Anak menjadi malas kerana ada sesuatu yang menyebabkan dia malas.

Oleh itu ibu bapa hendaklah mengenal pasti simptom yang menyebabkan dia malas belajar?

Ada beberapa petunjuk yang boleh kita kesan jika kita bertanya dengan anak-anak yang sering merungut menyiapkan kerja sekolah atau sering dimarahi guru kerana tidak siap kerja sekolah.

Ibu bapa boleh kesan subjek mana yang anak kita sering gagal menghantar kerja rumah.

Di situ kita bertanya pada anak, adakah subjek Matematik (contohnya) terlalu susah? Adakah dia berasa tidak seronok belajar Matematik?

Jika jawapannya ya, maka ibu bapa boleh membimbing anak menyelesaikan masalah Matematik bersama-sama.

Anak akan berasa lebih bersemangat jika ibu bapa mendorong mereka.

Kemudian bolehlah berbincang dengan guru tentang kaedah yang lebih menarik yang boleh guru aplikasikan bagi memupuk minat muridnya belajar.

Buatkan jadual di rumah

Anak-anak kita kadangkala sering gagal mengurus masanya terutama di rumah.

Apatah lagi di zaman serba canggih ini yang mana gajet mula menguasai anak.

Maka dengan itu ibu bapa haruslah pandai mengurus masa belajar anak-anak.

Sediakan jadual belajar yang ringkas. Tumpukan kepada penyiapan kerja rumah dan subjek teras yang menjadi subjek utama peperiksaan.

Dengan adanya jadual seperti ini. Anak anak akan lebih terurus dalam pembelajaran dan menjadi lebih rajin.

Kenal pasti rakan anak

Tahukah ibu bapa kalau saya katakan bahawa Malas itu boleh berjangkit?

Ya boleh…bagaimana ia berlaku? Ia berlaku dengan pengaruh rakan sebaya.

Jika anak-anak kita berkawan dengan orang yang rajin maka anak-anak kita akan menjadi lebih rajin.

Namun jika di bersama-sama dengan orang yang malas tidak boleh dinafikan anak-anak kitab oleh terikut-ikut dengan sikap malas.

Apa yang ibubapa boleh lakukan ialah membina lingkungan positif untuk anak-anak kita. Rakan-rakan mereka hendaklah yang tidak mempunyai ciri-ciri atau sikap malas, ibu bapa boleh bantu dengan memperbanyak pergaulan dengan pelajar yang rajin dan aktif.

Di barat, ada anak-anak yang bersikap malas, dimasukkan ke kelas bola sepak, renang dan robotik.

Semua ini untuk memupuk lingkungan positif dalam kalangan anak-anak yang malas supaya berubah menjadi rajin.

Kesimpulannya, anak-anak kita semua mempunyai potensi tersendiri.

Namun kadangkala ada beberapa perkara yang menghalang potensi itu dari berkembang dan menonjolkan kebolehan anak anak kita.

Antara yang menghalang itu ialah sikap malas. Semoga tips ini dapat membantu ibu bapa membimbing anak supaya menjadi lebih rajin. Insya-Allah.

Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.