“ BERBAKTI kepada tanah, pasti mendapat ganjaran,” itulah ungkapan Mohammad Zakaria Jamsari, 36, mempunyai minat tinggi ke atas pertanian sehingga membuka Rumah Cendawan Tiram Kelabu dua tahun lalu.

Turut mesra dengan panggilan Zack, dia mula berjinak-jinak tanaman cendawan dengan hanya membeli 10 bongkah tanaman.

“Saya belajar cara menjaga cendawan dengan menonton video di Youtube.

Selepas itu, Zack cuba mengusahakan tanaman Cendawan Tiramnya dan kini mampu menjana pendapatan lebih kurang RM1,000 sebulan.

“Saya juga belajar cara mengendalikan tanaman Cendawan Tiram Kelabu,” katanya.

Walaupun sibuk bekerja di syarikat swasta, Zack sentiasa konsisten dengan aktiviti hariannya mengendalikan tanaman cendawan tersebut.

“Setiap hujung minggu, saya bangun awal pagi dan mandi sebelum melakukan proses melembapkan lantai rumah cendawan ini termasuk proses penuaian turut dilakukan setelah cendawan mula bercambah diikuti proses pembungkusan dan terus dihantar kepada pelanggan.

Jelasnya, dia mendapat nasihat rakannya ke kursus yang disediakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan mula membuka mata potensi keuntungan cendawan tersebut.

“Setelah dua tahun saya mengusahakan tanaman ini, permintaan memang tinggi khasnya dalam kalangan suri rumah sebagai pelanggan tetap.

“Cendawan sangat sensitif dengan bau persekitarannya kerana tumbuhan menyerap bau dan tidak digalakkan sesiapa sahaja menggunakan pewangi badan atau melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Katanya, dia perlu mandi terlebih dahulu tidak kira pada awal pagi atau selepas pulang bekerja kerana cendawan mudah terjejas sekiranya menyerap bau bukan semula jadi.

Cabaran Semasa PKP Meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac lalu, Zack menjelaskan cukup terkesan dengan Covid-19 kerana banyak kilang kayu ditutup dan tiada bekalan mentah untuk pembuatan bongkah yang baharu.

“Pengeluaran cendawan memang teruk semasa PKP kerana kita tahu had maksimum pertumbuhan untuk satu bongkah pada tujuh hingga enam kali pengeluaran.

“Namun kini keadaan kembali beransur pulih apabila kilang kembali dibuka, dan semua keperluan untuk membuat bongkah ini dapat diperoleh daripada pembekal,” jelasnya.

Bantu Usahawan Dalam kesempatan tersebut Zack turut berharap agar lebih banyak agensi yang berwajib dapat membantu belia dan mana-mana pihak yang ingin bergiat dalam bidang pertanian.

“Selain itu, saya berharap lebih ramai agensi dapat membantu usahawan dengan peruntukan geran termasuk bantuan peralatan yang lain,” jelasnya.

Zack turut berharap orang ramai kehilangan kerja mula menjana pendapatan dengan menceburkan diri dalam penanaman cendawan sebagai pendapatan sampingan.

“Meskipun menyedari penyakit bongkah cendawan adalah cabaran utama tetapi kita mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya komited dan tidak putus asa,” jelasnya.

Zack yakin permintaan pasaran terhadap cendawan pada masa hadapan juga meningkat kerana pelbagai produk berkaitan cendawan seperti kerepek cendawan dan cendawan goreng dihasilkan.