SARATOK: Transformasi pendidikan di kawasan luar bandar banyak mengubah landskap sektor itu termasuk di sekitar khususnya di Daerah Saratok dan Kabong.

Adun Kabong Mohd Chee Kadir berkata, ia merupakan bukti kesungguhan kerajaan membangunkan semua aspek termasuk pendidikan yang menjadi platform melahirkan banyak modal insan berjaya.

“Saya amat menekankan aspek pendidikan. Justeru dengan geran kerajaan, banyak sekolah dapat dibantu dari segi infrastruktur selain dana untuk penganjuran aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Tidak dapat dinafikan lanskap pendidikan di sekitar kawasan ini nyata berubah,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada PIBG dan Pelancaran Radio ASARfm milik SMK Agama Saratok di sini, baru-baru ini.

Dalam memastikan usaha membawa sektor pendidikan di kawasan ini terus ke depan, beliau menagih kerjasama semua pihak untuk bersamasama menyumbang.

“Wakil rakyat, masyarakat, ibu bapa, pihak sekolah malah pelajar itu sendiri harus meletakkan pendidikan sebagai perkara utama,” ujarnya.

Chee menzahirkan ucapan syabas atas komitmen pihak sekolah dalam memperkenalkan siaran radio ASARfm sejak Februari lalu.

Pada majlis yang sama, beliau menyumbang RM5,000 kepada PIBG SMK Agama Saratok. Terdahulu Penolong Kanan Pentadbiran SMK Agama Saratok Nelleyhamdra Draupkelley Draup berterima kasih kepada Chee kerana membantu PIBG menyediakan set sistem pembesar suara dan sejadah.