KUCHING: Seramai 18,222 bayi Sarawak telah memohon untuk Dana Endowmen Sarawak (EFS) setakat 28 September lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu bersamaan dengan 83 peratus bayi Sarawak yang layak untuk bantuan tersebut.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM30 juta untuk pelaksanaan EFS tahun ini.

Justeru, saya berharap sesiapa yang belum mendaftar untuk bantuan ini agar segera berbuat demikian supaya tidak ketinggalan menerima manfaat daripada EFS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Simbolik Penyerahan Bantuan Kerajaan Sarawak sekali gus merasmikan pejabat baharu KWKPK di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, kelmarin.

Menurut Fatimah, seramai 11,459 ibu bersalin atau 52 peratus telah memohon untuk Bantuan Ibu Bersalin (BIB) setakat 28 September lalu.

“Untuk bantuan ini, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM18 juta yang akan memberikan manfaat kepada sekitar 40,000 kaum ibu,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Geran Tahunan Khas (GTK) untuk institusi pendidikan awal kanak-kanak (IPAKK) beliau menjelaskan RM15,100,000 telah diberikan kepada 3,020 IPAKK berdaftar setakat 30 September ini.

Menurut Fatimah lagi, bantuan tersebut memberi manfaat kepada sekitar 81,279 kanak-kanak.

Dari segi Bantuan Kad Kenyalang Emas (KGC), beliau berkata KWKPK telah menerima sebanyak 186,127 permohonan setakat 2 Oktober lalu di mana 90,352 kad telah diserahkan kepada pemohon yang layak.

Beliau turut menjelaskan sebanyak 577 daripada 832 permohonan telah diluluskan untuk Bantuan Ihsan Kematian yang bernilai RM3,000 kepada seorang penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,731,000 setakat 2 Oktober lalu.

“Bagi Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) pula, sebanyak 51 daripada 77 permohonan telah diluluskan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM365,952 setakat 26 September lalu.

“Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan pembelian enam mesin hemodialisis untuk menggantikan mesin lama di Hospital Umum Sarawak (HUS),” ujar beliau.

Dalam hal berkaitan, beliau mendedahkan kementeriannya akan membelanjakan RM1.5 juta tahun ini untuk membantu 25,813 suri rumah dan ketua isi rumah wanita yang tersenarai dalam eKasih agar berdaftar dalam program i-Suri oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan inisiatif ini, saya percaya rakyat Sarawak tahu akan komitmen yang dibuktikan oleh Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menjaga kebajikan rakyatnya,” tegas beliau.