MIRI: Matlamat Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 boleh dicapai dengan memberikan penekanan kepada pendidikan alam sekitar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) menggariskan Pembangunan Lestari sebagai salah satu pendorong ke arah visi Sarawak untuk menjadi status negara maju menjelang 2030.

“Pada September lalu, kami menyambut ulang tahun kelima Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), agenda diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang merupakan rancangan transformasi global dengan 17 tujuan untuk mencapai keseimbangan sosial, ekonomi dan persekitaran kelestarian.

“Selaras dengan matlamat yang ditetapkan, kita mesti memastikan rakyat bukan hanya memperkasakan ekonomi dan pembangunan, tetapi persekitaran yang lestari juga.

“Jika persekitarannya terjejas kerana pembangunan dan pencemaran yang tidak terkawal, rakyat akan terkesan akibat masalah pemanasan global dan juga isu kesihatan,” katanya Majlis Penyampaian Anugerah SERASI Sesi 2018/2019 Peringkat Negeri Sarawak di sini, kelmarin.

Oleh itu, tambahnya, beliau percaya bahawa pendidikan mengenai alam sekitar dapat membantu Sarawak mencapai status negeri maju.

“Impak dan hasil pendidikan alam sekitar tidak dapat dilihat dalam sekelip mata.

“Ia memerlukan masa kerana prosesnya secara berperingkat-peringkat dan merangkumi pelbagai aspek dari segi kesedaran, pengetahuan dan kefahaman tentang alam sekitar, perubahan sikap, penglibatan serta penyertaan aktif kumpulan sasaran dan masyarakat,” jelasnya yang juga Menteri Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II.

Selain itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan turut menegaskan, kelestarian alam sekitar kini perlu dilakukan menggunakan kaedah baharu seiring dengan kebiasaan baharu.

“Seperti sedia maklum, seluruh dunia telah terjejas akibat penularan wabak pandemik Covid-19 terutamanya sektor-sektor perindustrian, pelancongan, pembuatan, perkhidmatan, pendidikan dan termasuklah juga aktiviti sosial.

“Dalam usaha kita untuk pulih dari impak wabak pandemik ini, kita semua perlulah bersedia untuk berubah termasuklah mengamalkan kebiasaan baharu,” katanya.