KUCHING: Pada usia sekarang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus berhenti serta memberi ruang kepada orang lain untuk meneruskan perkhidmatan dan perjuangan, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir.

Menurutnya, Dr Mahathir yang gila kuasa dan sentiasa berfikir hanya beliau yang terbaik dan betul, serta dapat memimpin negara ini, manakala pemimpin lain tidak punya keupayaan mengatasinya.

“Inilah masalah beliau yang menganggap dirinya serba istimewa sehingga disebabkan obses dan gila kuasa, tidak sedar bila beliau sepatutnya membubuhkan titik noktah dalam politik,” katanya dalam temu ramah bersama Berita Harian Singapura.

Dr Jeniri yang juga penganalisis politik mengulas mengenai Dr Mahathir yang berkemungkinan akan bertanding pada PRU akan datang selepas penyokongnya didakwa tidak bersetuju beliau bersara.

“Beliau terkenal sebagai pemimpin yang kerap membuat pusingan U atau mengubah pendirian. Ini bukan kali pertama beliau berbuat demikian, sudah banyak kali.

Sebenarnya, beliau sudah tidak lagi relevan dalam politik Malaysia.

Masalahnya, beliau sering berfikir sebaliknya bahawa tanpa beliau Malaysia akan hancur.

“Bagi saya, sebagai pemimpin dan negarawan, beliau harus membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain, apatah lagi para penyokongnya. Itu hanya alasan beliau untuk mewajarkan tindakannya,” ujar bekas pensyarah Universiti Malaysia Sarawak itu.

Dr Jeniri berkata, Dr Mahathir terperangkap dalam kapsul masa berfikir bahawa beliau masih lagi diterima seperti ketika menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 walaupun pada hakikatnya, landskap dan senario politik sudah berubah.

“Golongan muda tidak akan menyokong beliau, parti yang dipimpin oleh seorang yang menuju 100 tahun usianya. Kalau pemimpin muda seperti Syed Saddiq Abdul Rahman pun tidak menyokong, ini bermaksud, bekas Menteri Belia dan Sukan itu sendiri tidak yakin terhadap kepemimpinan beliau termasuk dari segi mendapat sokongan golongan muda.

“Itulah sebabnya, Syed Saddiq menubuhkan parti Muda, dengan tumpuan untuk orang muda,” jelasnya. Tegas Dr Jeniri, pendirian Dr Mahathir yang sering berubah-ubah itu bukan sahaja menyebabkan reputasi terjejas, tetapi juga menghakis teruk kredibiliti beliau.

“Semakin ramai rakyat yang menganggap beliau sebagai pemimpin yang sudah berlalu masanya, dan rakyat mahu melangkah ke hadapan.

“Pengaruh beliau yang menyebabkan Pejuang ditubuhkan. Tetapi, tidak ramai ahli Bersatu yang pernah diterajuinya mengikut beliau, termasuk Syed Saddiq. Apa maknanya ini?

“Ini bermaksud pemimpin muda seperti Syed Saddiq pun tidak yakin terhadap kepemimpinan beliau dan masa depan parti ini,” katanya lagi.

Dr Jeniri menambah, jika Dr Mahathir berundur, Pejuang akan mengalami nasib buruk dan akan menjadi parti yang tidak berpengaruh.

“Apatah lagi tiada pemimpin yang berwibawa dan berpengaruh, termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang gagal sebagai pemimpin dan banyak bergantung kepada pengaruh ayahnya.

“Kelemahan parti itu ialah ia tidak mempunyai tokoh lain selain daripada Dr Mahathir, selain tidak mempunyai jentera akar umbi yang kuat dan menyeluruh,

“Pejuang tiada pengaruh langsung di Sabah dan Sarawak, kerana orang sudah tidak percaya kepada beliau. “Beliau sedar tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri kesembilan, selain tidak ada sokongan.

Siapa yang mahu menyokong beliau lagi? Tidak cukupkah menjadi Perdana Menteri sebanyak tiga kali, termasuk sebagai Perdana Menteri interim,” soalnya.

Dr Jeniri berkata, Dr Mahathir sudah memerintah selama 22 tahun 22 bulan dan untuk menjadi Perdana Menteri, beliau perlu mendapatkan sokongan anggota parti Pakatan Harapan, DAP, Amanah dan PKR.

“Adakah anda fikir Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyokong beliau, selepas beliau mengkhianati Anwar dan penyokongnya?

Beliau hanya bermimpi untuk jadi Perdana Menteri dan mimpi itu akan hanya menjadi igauan dan mimpi ngeri. Beliau tidak akan ada peluang lagi untuk menjawat jawatan itu,” tegasnya.