KUCHING: Teknologi perlu dididik di peringkat awal persekolahan untuk mempercepatkan penggunaannya di seluruh negara.

Pengasas Pusat Daya Saing Dunia IMD, Profesor Stephane Garelli berkata, sistem pendidikan merupakan mekanisme yang cepat dalam mengadaptasikan penggunaan teknologi.

“Sebagai contoh di negara saya, kami agak perlahan dari aspek ini terutamanya untuk memastikan anak-anak diajar menggunakan teknologi.

“Permasalahan sekarang bukanlah kanak-kanak, namun guru yang tidak dilatih menggunakan teknologi. Kadangkala murid lebih mengetahui penggunaan teknologi berbanding guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan salah seorang peserta Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-4 (IDECS) 2020 melalui aplikasi secara maya dari Switzerland di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini baru-baru ini.

Stephane menambah, kelayakan dan kurikulum di sekolah perlu dipertingkat dan diubah untuk memastikan guru mampu mendidik mengikut peredaran terkini.

Selain itu katanya, latihan vokasional terutama mereka yang telah bekerja perlu dipersiapkan dengan peluang yang ada dalam teknologi.

“Mereka perlu diberi peluang menggunakan teknologi terkini untuk menghabiskan latihan dan mengikut kelayakan.

“Kita tidak perlu memberikan mereka teknologi yang begitu kompleks tetapi yang mudah. Sebagai contoh, cara untuk menggunakan aplikasi zoom,” katanya.

Menurut beliau, menerusi langkah itu, rakyat dapat belajar dengan sendiri cara untuk menggunakan teknologi yang sedia ada.