ANJING sangat sesuai dimandikan seminggu sekali kerana jika terlalu kerap, ia tidak baik untuk kulit anjing, jelas Dr Alif Kurniawan.

“Semakin kerap mandi, semakin banyak anjing cenderung menderita beberapa jenis penyakit kulit seperti barah kulit atau alergi,” kata doktor haiwan berpengalaman yang menamatkan pengajian dalam bidang veterinar di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta, Indonesia.

Beliau yang sebelum ini bekerja di Indonesia dan Brunei, kini merupakan salah seorang doktor haiwan di Animal Central Veterinary Clinic, Jalan Tabuan di sini.

Menurutnya, anjing merupakan sahabat baik dan paling setia kepada manusia yang merupakan dunia bagi anjing.

“Memiliki anjing tidak bermaksud anda seorang pencinta anjing. Sebaliknya, seorang pencinta anjing menjadikan anjing peliharaannya seperti ahli keluarga, bukan hanya pengawal.

“Untuk memilikinya, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk perbelanjaan serta pengetahuan untuk menjaganya seperti anak sendiri,” kata Dr Alif.

Menurutnya, antara faktor penting seperti menyediakan tempat perlindungan iaitu kandang yang sesuai, suhu tidak terlalu panas atau sejuk, serta membuat penyelidikan tentang ciri-ciri anjing yang hendak dipelihara.

“Apabila menjadi pemilik anjing, anda mesti menyediakan makanan yang sesuai, air minuman tanpa had, meluangkan masa bersama, memandikan sekali seminggu dan mendapatkan vaksinasi anjing mengikut nasihat doktor,” katanya.

Jelasnya lagi, ukuran, keturunan, kesihatan, tenaga dan usia yang berlainan juga harus dipertimbangkan.

Seperti manusia, anjing juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat secara berkala agar kekal selamat.

“Pemilik mesti tahu bagaimana mengatasinya dengan tepat.

Contohnya, bersenam dengan cara termudah dengan membawanya berjalan-jalan atau bersantai di luar,” katanya.

Manakala bagi anjing yang aktif seperti shepherd, beagle, atau anjing polis memerlukan latihan yang lebih dan kuat.

“Seterusnya makanan. Anda setinggi anjing polis dan tidak serendah anjing berukuran kecil.

“Sudah tentu, sebilangan orang masih lebih memilih untuk memiliki baka import.

Namun, anjing berbulu pendek akan lebih sesuai dengan cuaca Malaysia.

“Ini kerana persekitaran kita lebih panas dan anjing bulu panjang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran ini kecuali bilik berhawa dingin disediakan 24 jam,” ulasnya.

Bercakap jika berhadapan dengan situasi kematian anjing peliharaan Dr Alif berkata, tiada prosedur undang-undang dan tertib yang tepat untuk menguruskannya.

“Pemilik boleh memilih pengebumian atau pembakaran.

“Untuk pengebumian, badan anjing mesti diletakkan sedalam satu hingga dua meter untuk mengelakkan haiwan lain menggalinya kerana kita tidak tahu sama ada bangkai itu mengandungi virus atau tidak,” jelas Dr Alif.