KUCHING: Sacofa Sdn Bhd (Safoca), Danawa Resources Sdn Bhd (DanawaA) dan PP Telecommunication Sdn Bhd (PPTEL) menjalin kerjasama untuk meningkatkan dan meluaskan liputan perkhidmatan telekomunikasi di Sarawak.

Majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) itu disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika Konvensyen Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini baru-baru ini.

Kolaborasi ini bertujuan untuk meningkat dan mengembangkan pelaksanaan perkhidmatan Internet berwayar dan tanpa wayar di Sarawak, sebagai sokongan terhadap visi Kerajaan Negeri untuk memastikan seluruh rakyat di negeri ini mendapat manfaat.

Sacofa merupakan syarikat peneraju infrastruktur Teknologi Maklumat di Sarawak, telah menandatangani dua MoU dengan Dawana dan PPTEL.

Memorandum yang dipersetujui antara Sacofa dengan Dawana akan menerokai kolaborasi mengenai Akses Tanpa Wayar Tetap, menyediakan sambungan Internet kepada masyarakat luar bandar, sementara Sacofa dan PPTEL akan meneroka kerjasama dalam inisiatif infrastruktur telekomunikasi.

Pengarah Urusan Sacofa, Zaid Zaini, menjelaskan ini adalah langkah ke hadapan untuk ekosistem telekomunikasi Sarawak sebagai pemain industri yang akan bekerjasama dan saling memanfaatkan kekuatan masing-masing demi kebaikan Sarawak.

“Dengan kawasan geografi yang luas dan kepadatan penduduk yang rendah memberikan persekitaran yang mencabar untuk pelancaran perkhidmatan telekomunikasi.

“Sebagai pemain industri tempatan di Sarawak, kami berkumpul untuk bekerjasama meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan serta mengelak pertindihan sumber,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Danawa, Abdul Rahman Sepawie berkata, kerjasama ini akan mempercepat pelancaran rangkaian jalur lebar Internet berkelajuan tinggi di seluruh kawasan terpencil di negeri ini.

“Pelancaran rangkaian jalur lebar ini akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat luar bandar. Sebagai balasan, ini akan melengkapkan agenda Kerajaan Sarawak dalam ekonomi digital dengan itu mendekatkan masyarakat luar bandar kepada dunia,” ujarnya.

Manakala PPTEL memainkan peranan penting dalam membina infrastruktur asas untuk menyokong ekonomi digital, memberikan Sarawak akses kepada kandungan Internet secara global melalui penyambungan kapal selam berkapasiti tinggi yang baharu.

Kabel ini akan menyediakan hala baharu dan alternatif ke pasaran global, membolehkan akses kepada Pusat Data Peringkat 4 PPTEL di Kuching yang dijangka dilancarkan tahun hadapan.

PPTEL menyasarkan untuk menjadi hab alternatif kepada hab-hab sedia ada dalam wilayah seperti Singapura dan Hong Kong dengan semua kelebihan tenaga hijau Sarawak dan ruang yang ada.

PPTEL sudah menawarkan perkhidmatan Transit IP yang selamat untuk memenuhi lonjakan permintaan semasa data daripada pelanggan runcit, perusahaan dan bersedia untuk jangkaan pertumbuhan pada dekad yang akan datang.