NIAH: Sungai Kampung Iran antara salah satu lokasi popular dikalangan pemancing tempatan malah ia menjadi lubuk utama dalam peta pemburu ‘sepit biru’ atau jenggo.

Sungai Kampung Iran yang terletak kira-kira 90 kilometer atau mengambil masa satu jam 30 minit perjalanan dari bandaraya Miri itu menjadi lokasi berkumpul pemancing udang galah.

Bagi pemancing berpengalaman, Adris Ismail berkata Sungai Kampung Iran itu telah banyak memberikan rezeki lumayan kepada pemancing sungai bukan hanya dari kampung itu tetapi pemancing luar.

“Untuk rekod, saya telah berjaya menaikkan kira-kira 7.2 kilogram udang galah yang membuktikan sungai Iran ini sememangnya lubuk udang galah, ” katanya kepada pemberita.

Menurut Adris, rekod peribadinya menaikkan seekor udang galah adalah seberat 650 gram yang menyebabkan jorannya direntap dengan kuat oleh penghuni dasar sungai.


JADI BURUAN: Adris menunjukkan sebahagian hasil udang galah yang diperoleh semasa memancing di Sungai Iran.

Menceritakan pengalaman selama 27 tahun memancing di sungai Iran, Adris berkata pelbagai cabaran dan dugaan dihadapinya termasuk bertembung dengan buaya.

Umpan kebiasaannya yang digunakan pemancing ialah anak udang kecil, cacing, jantung ayam dan cacing bakau atau kupom.

“Satu pesanan saya kalau berjaya menaikan udang galah bertelur, kita harapkan pemancing melepaskannya untuk menjaga habitat udang galah pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya berkenaan sewa bot bagi pemancing luar, Adris berkata kebiasaanya harga sewa bot pada kadar RM30 sebuah, dan jika bersama dengan enjin, ia antara RM100-RM200 sebuah.

REKOD PERIBADI: Azman menunjukkan udang galah seberat 600 gram yang ditangkapnya semasa turun memancing di lubuk sungai Iran.

Sewa bot tambah Adris sama ada bot kayu atau fiber bergantung kepada muatan dan panjang bot, jika kapasiti besar, harga sewa mencecah sehingga RM200.

“Dari segi keselamatan, pemancing diingatkan membawa sendiri jaket keselamatan dan menjaga bahasa atau tutur semasa memancing lebih-lebih lagi di sungai yang berpenghuni,” ujarnya.

Bagi Azman Tamjet, 47 tahun, memancing di Sungai Iran mencipta kepuasan dan pengalaman manis kepadanya apabila turut menaikkan seekor udang galah seberat 600 gram.

“Saya sememangnya hobi memancing udang di Sungai Iran, Sepupok dan Niah, bahkan musim terbaik memburu sepit biru ini bermula bulan Mac hingga Julai iaitu musim kemarau atau mengetam padi,” katanya.

Azman menjelaskan kebiasaanya akan turun memancing bersama rakan atau ahli keluarga yang juga minat memburu udang galah.

HOBI KITA SAMA: Azman bersama isteri menunjukkan sebahagian hasil yang diperoleh di Sungai Iran.

“Kami berangkat dari Miri sekitar jam 4 pagi dan sampai ke lokasi kira-kira jam 5.30 pagi, dan menyewa bot sebelum menghala ke hulu atau hilir sungai.

Bagi pemancing tegar seperti kami, kepuasan tarikan udang galah adalah satu keseronokan yang tidak dapat dibayangkan meskipun kos memancing mencecah ratusan ringgit,” ujarnya.

Azman menjelaskan, kebiasaan pemancing akan melihat keadaan sungai untuk menentukan airnya tidak terlalu sejuk dan suam panas.

“Kalau memancing pada waktu yang tepat, saya yakin pemancing di sungai Iran tidak akan pulang dengan tangan kosong bahkan saya sendiri pernah menaikkan udang galah seberat dua hingga lima kilogram,” jelasnya.

Bagi pemancing yang baru berjinak-jinak memburu udang galah, Azman mengingatkan agar mereka sentiasa memantau keadaan sekitar dan tidak terlalu leka memancing.

“Jika ada banyak udang galah, terutama di kawasan lubuk, sudah pasti ada sang bedal. Jadi, perlu sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsanya,” katanya.

Azman juga berkata jika boleh, mereka yang baharu meminati hobi memancing disaran menggunakan bot yang bersesuaian dan selesa antara dua atau tiga orang bagi satu-satu bot.

“Bagi saya Sungai Iran atau Niah di sini sememangnya lubuk wajib yang perlu dikunjungi pemancing udang galah terutama yang teruja dengan tarikan kuat sepit biru,” jelasnya.

TERUJA: Kelihatan salah seorang pemancing yang turut menunjukkan udang galah semasa memburu sepit biru itu di sungai Iran.