SIBU: Tindakan seorang wanita yang enggan memakai pelitup muka ketika mengunjungi sebuah farmasi di sini mengundang padah apabila dia dikenakan denda RM1,000 kelmarin.

Berikutan kedegilan wanita terbabit yang tidak memakai pelitup muka telah menyebabkannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawal Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada jam 2.30 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, satu video yang menjadi tular menunjukkan suspek sedang memaki hamun seorang pekerja di depan kaunter farmasi terbabit yang terletak di Jalan Kampung Nyabor di sini.

“Polis yang bertindak berdasarkan rakaman video itu telah menjalankan siasatan yang menjurus kepada penangkapan wanita berusia 48 tahun itu” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, siasatan mendapati insiden itu berlaku apabila seorang pekerja farmasi berkenaan menegur suspek yang memasuki premis farmasi terbabit tanpa memakai pelitup muka.

“Wanita itu juga marah apabila dia dipanggil dengan panggilan ‘Auntie’ (makcik,)” sehingga menyebabkan satu pertengkaran mulut tercetus,” jelasnya.

Katanya, suspek telah berjaya dikesan susulan satu laporan polis yang diterima pada jam 2.30 petang pada 5 Oktober lalu.

Katanya lagi, soal siasat mendapati suspek telah ditegur kerana tidak memakai pelitup muka ketika memasuki premis farmasi berkenaan.

“Suspek menyatakan bahawa dia berang kerana dipanggil sebagai ‘Auntie’ dan tidak berpuas hati serta mengaku mempunyai insomnia (penyakit tidak dapat tidur pada waktu malam),” katanya.

Jelasnya lanjut, suspek juga mudah meninggikan suara dan ketawa sendiri ketika disoal siasat.

Katanya, suspek telah didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit (No.8) 2020 kerana ingkar SOP PKPP.

“Suspek yang telah diterangkan mengenai kesalahannya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan pembayaran kompaun di kaunter Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu,” jelasnya lagi.