MIRI: Pekan Long Lama melakar sejarah semalam apabila perpustakaan awamnya dijadikan Pusat Komuniti Digital (PKD). Adun Telang Usan, Dennis Ngau menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memilih Perpustakaan Awam Long Lama.

“Ini adalah detik bersejarah. Ini bermakna Long Lama kini selangkah di hadapan, dalam usaha kerajaan membawa kemajuan yang menyeluruh untuk rakyat Sarawak.

“Inisiatif ini adalah kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (Scope) dan Pustaka Negeri Sarawak untuk melaksanakan 42 Pusat Komuniti Digital di seluruh Bumi Kenyalang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PKD di Long Lama di Telang Usan pada Selasa.

“Selain itu, ini juga untuk memastikan rakyat bersedia menghadapi inisiatif Ekonomi Digital Sarawak. Ia membantu mereka melalui penyediaan akses teknologi dan kandungan digital, literasi digital dan program komuniti di pedalaman seperti di Telang Usan Ulu Baram,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dennis turut berharap pusat tersebut dapat dijadikan pusat penyelidikan dan pembangunan masyarakat setempat.

“Pusat ini juga berperanan sebagai mentor dalam pelaksanaan program, pusat mesyuarat belia, kemudahan kerja komuniti atau kemudahan seminar pembelajaran sepanjang hidup. Ia menyediakan jaringan Internet secara percuma untuk penduduk kurang mampu.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak untuk memaklumkan kemudahan PKD ini kepada komuniti di Long Lama agar mereka dapat memanfaatkan kemudahan ini sebagai platform digital,” jelasnya.

Beliau berkata, sejajar dengan cara kehidupan sekarang, kemudahan digital menjadi satu keperluan dalam rutin harian.

“Sesuai dengan visi PKD, samasama kita memperkukuhkan kemahiran dan keupayaan bakat untuk membentuk komuniti lestari dengan memanfaatkan kemudahan ini,” ujar Dennis.