SARATOK: Kerajaan menggesa ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) memantau setiap aktiviti dan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, tindakan proaktif KMKK sangat penting untuk memastikan setiap usaha pembangunan berjalan dengan lancar, tidak bermasalah seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Misalnya jika anda (KMKK) menyedari berlakunya kelewatan pelaksanaan projek atau tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, maka menjadi tanggungjawab anda untuk memaklumkan perkara tersebut kepada Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (Union).

“In kerana, kita (kerajaan) mahu setiap projek yang dilaksanakan mengikut jadual dan menepati spesifikasi. “Akhirnya kelak, negeri ini akan dikenali sebagai sebuah negeri yang berintegriti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Integriti Siri 4/2020: Pemimpin Bersama Masyarakat Daerah Saratok yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sri Krian, pada Selasa.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak melalui Union komited membudayakan amalan integriti di pelbagai peringkat masyarakat.

“Langkah-langkah pencegahan dan pembanterasan gejala rasuah turut diberikan keutamaan. “Perlu difahami, proses membudayakan integriti dan jati diri memerlukan usaha berterusan dan masa yang panjang.

“Justeru, usaha menyebarluaskan nilai-nilai integriti dalam kalangan masyarakat akan terus diperkasa. “Alhamdulillah, masyarakat mula memberikan respons positif apabila mereka kini cukup peka tentang isu integriti dan rasuah.

“Malah, rata-rata mahu melihat tindakan tegas diambil terhadap pesalah rasuah serta tidak berintegriti,” ujarnya. Talib menambah, salah satu fungsi utama Union mengurus aduan.

Katanya lagi, kesemua aduan akan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan Ombudsman Antarabangsa mengenai kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal.

“Maka, saya menyeru gunakan platform ini sebaik-baiknya jika mendapati berlaku salah laku di tempat masing-masing. “Saya percaya anda yang ada di sini merupakan pemimpin yang berintegriti serta mengamalkan budaya kerja cemerlang,” jelasnya.

Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz; Pengarah Union Adana Jed; Residen Bahagian Betong Friday Belik dan Pemangku Pegawai Daerah Saratok Laga Kueh antara yang turut hadir.