KUCHING: Seorang remaja berusia 19 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Puncak Borneo di sini atas kesalahan merogol teman wanitanya yang bawah umur.

Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga membuat keputusan itu selepas mengambil kira laporan sosial tertuduh yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehubungan itu, Jason menetapkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo sehingga mencapai usia 21 tahun.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa merogol teman wanitanya berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Berdaun, Jalan Sultan Tengah di sini pada 8 September 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Akta 574 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Menurut laporan sosial Pegawai JKM Efa Erni Bujang Adris, tertuduh terlalu mengikut ketidakmatangan fikiran dan faktor usia yang masih muda lantas melakukan perkara itu tanpa berfikir panjang mengenai kesannya.

Tambahnya lagi, tertuduh juga bertindak tanpa memikirkan perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang dan haram di sisi agama.

“Bagi penama (tertuduh), kejadian yang berlaku bukan paksaan tetapi atas kerelaan mangsa tetapi penama tidak sedar bahawa melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur adalah satu jenayah yang berat.

“Penama yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau turut berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya serta memohon agar dapat diberi peluang kedua untuk berubah dan menebus kesilapannya,” jelasnya.

Ekoran tertuduh tidak lagi bersekolah dan tetapi telah bekerja serta mengambil kira kejadian yang berlaku atas dasar suka sama suka maka JKM berpandangan agar akhlaknya boleh dibentuk menjadi lebih baik.

“Sebagai pengajaran kepada penama supaya berubah demi masa depannya maka dia perlu dibantu dengan didikan disiplin diri supaya membentuk hala tuju dan haluan hidup yang lebih bermakna.

“Oleh itu, saya mengesyorkan agar penama ditahan di Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo, Kuching sehingga berusia 21 tahun mengikut peruntukan Seksyen 293(1)(d) demi masa depan penama,” ujarnya.