KUCHING: Tidak mustahil Sarawak boleh gah dalam industri seni dan kreatif seperti Hollywood kerana kandungannya dilakukan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman berkata, stesen televisyen pertama dari negeri ini akan ditunjangi empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Mandrin dan bahasa Iban.

“Kandungan TVS majoritinya dari Sarawak dalam usaha mempromosikan Bumi Kenyalang ini di mata dunia.

“Dengan platform baharu ini, kita akan memberitahu, mendidik dan menghiburkan para penonton terutamanya dari Sarawak,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak semalam.

Stesen televisyen milik rakyat Sarawak bakal mencatat sejarah apabila ia mula bersiaran secara percubaan pada 10 Oktober ini bersempena Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Penubuhan stesen televisyen ini adalah cetusan idea daripada Tun Taib sendiri yang didukung oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bermatlamat untuk memacu pertumbuhan industri media kreatif tempatan, Kerajaan Sarawak telah mengamanahkan syarikat milik kerajaan iaitu Sarawak Media Group (SMG) untuk merintis Sarawak sebagai hab media di rantau ini.

Stesen televisyen ini juga bertindak sebagai platform kepada bakat-bakat kreatif muda untuk mewujudkan nilai komersial yang lebih meluas kepada para penonton.

Selain itu, para penggiat industri media kreatif dan penerbit rancangan tempatan juga dijemput untuk berkarya serta menyampaikan penceritaan kandungan tempatan secara menyeluruh melalui kerjasama dengan TVS.

“Kewujudan TVS dapat mempersembahkan aspek kesenian dan kebudayaan rakyat Sarawak dengan lebih meluas terutamanya kepada penonton luar Sarawak,” kata Abang Johari semasa lawatan di Sibu ke Kapit baru-baru ini.

Bakal dikenali umum sebagai TVS, saluran ini menjanjikan rancangan-rancangan yang segar dan menginspirasikan. Bertemakan “Segar dan Memberi Inspirasi”, TVS akan memastikan para penonton “terus terhibur” dengan kepelbagaian rancangan yang disiarkan di saluran ini daripada rancangan berbentuk drama bersiri, telemovie, dokumentari, bual bicara, animasi dan banyak lagi.

Stesen televisyen ini akan ke udara di saluran 122 Astro untuk tontonan seluruh negara.

Setakat ini, siaran TVS juga boleh ditonton melalui Astro NJOI dan Astro GO di saluran yang sama.