JADIKAN pertanian sebagai perniagaan. Ini antara saranan kerajaan terhadap petani di negeri ini jika ingin terus maju dalam sektor pertanian.

Malah jika serius, petani boleh menjadi kaya dengan syarat bijak merebut peluang untuk terlibat dalam pertanian moden.

Dengan demikian, jika bijak mengadaptasi teknologi terkini, pertanian yang merupakan salah satu sumber ekonomi Sarawak berupaya menganjak pendapatan petani, selain mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Semua ini setelah mengambil kira perubahan ketara dan pembangunan pesat dalam industri pertanian tersebut di negeri ini.

Ini sekali gus memperlihatkan betapa industri berasaskan pertanian harus diperhebatkan dalam aspek kemahiran bertani serta mengadaptasi teknologi moden untuk memastikan identiti Sarawak sebagai kuasa tani di Malaysia terus dikekalkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengunjungi Sarawak Fruit Enterprise iaitu pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan buah tempatan di Sibu baru-baru ini menggambarkan keinginan Kerajaan Sarawak untuk menjadi pengeksport produk makanan bersih menjelang tahun 2030.

Pertanian – Foto Bernama

Sasaran ini harus dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Sesungguhnya, sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya pemain sektor pertanian di negeri ini komited untuk terus maju di peringkat lebih tinggi.

Yang pasti, ia memerlukan lebih banyak tenaga dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam industi tani. Usaha ini dapat dilihat dalam pendekatan berani beberapa syarikat di Bahagian Sibu dalam perniagaan berasaskan hasil pertanian.

Usaha yang dilakukan oleh syarikat berkenaan boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Tambahan pula, kemudahan jalur lebar yang semakin meluas ketika ini memudahkan proses promosi selain menyumbang perolehan melalui tempahan secara maya.

Banyak pemain industri pelbagai bidang sudah mula mengambil pendekatan untuk mempromosi hasil produk mereka menggunakan kaedah dalam talian.

Justeru, tiada lagi istilah bergantung harap sepenuhnya terhadap Jabatan Pertanian termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk mempromosikan produk pertanian yang dihasilkan.

Douglas Uggah nyata kagum dengan perubahan ketara sebalik kemunculan serta keberanian pemain industri baharu dalam bidang pertanian ketika ini. Beliau amat yakin lebih ramai individu akan terlibat dalam industri yang sama, sekali gus dapat mempromosikan produk pertanian dari Sarawak ke serata tempat.

Tidak hanya di negeri-negeri seluruh Malaysia, malah mencakupi negara lain yang seterusnya mampu meluaskan pasaran per dagangan dan industri pelancongan.

Pandemik Covid-19 Sementara itu, dalam berdepan situasi negara yang tidak menentu berikutan kebimbangan penularan virus berbahaya – Covid-19, ia sebenarnya turut memberikan impak kepada pemain atau pengusaha produk berasaskan pertanian.

Namun, petani tidak harus cepat melatah kerana musibah yang dibawa Covid-19 turut dialami oleh industri lain.

Bagi pemain industri pertanian, mereka harus kekal fokus dengan memastikan produk yang dihasilkan sentiasa konsisten untuk memastikan bidang pertanian kekal sebagai penyumbang utama pendapatan masyarakat dan negeri Sarawak secara keseluruhannya.