MUKAH: Pada tahun 1927 iaitu semasa pemerintahan Brooke, sebuah sekolah Melayu yang pertama dibina di Daerah Mukah.

Sekolah yang dikenali sebagai Malay School Mukah itu dibina di atas sebidang tanah antara Sungai Mukah dengan Jalan Masjid iaitu di hadapan Masjid Jamek, Kampung Penakub Hilir sekarang.

Setelah beroperasi lebih 10 tahun, bilangan pelajar kian meningkat dan keadaan menjadi sesak.

Justeru itu, kerajaan berusaha mencari kawasan lain (kerana kawasan pertama ini sempit) untuk membina sekolah baharu.

Pesara guru besar Ismail Mawi memberitahu Suara Sarawak, pada tahun 1938 tampil seorang tokoh dan pejuang tempatan – Datuk Awang Udin yang rela mendermakan sebidang tanah seluas 4.82 ekar iaitu kawasan sekarang.

Katanya, di atas tanah inilah kerajaan mendirikan sebuah bangunan sekolah baharu (bangunan kedua) dan dinamakan Government Vernacular School, Mukah.

Apabila Jepun mula memerintah, pentadbiran sekolah diambil alih oleh Kerajaan Jepun. Nama sekolah ditukar kepada nama Jepun, Dai Ichi Kokomin Gakko Mukah.

Tambah Ismail lagi, pada tahun 1948, setelah pemerintahan Jepun tamat, sekolah ini mula ditadbir oleh kerajaan tempatan dan nama sekolah ditukar kepada Datuk Awang Udin Local Authority School, Mukah bagi menghargai dan mengenang jasa tokoh dermawan – Datuk Awang Udin.

Tingkat bawah bangunan diusahakan untuk menampung pertambahan pelajar.

Setelah beberapa lama, bilik darjah sesak kerana bilangan pelajar semakin bertambah.

 

Kerajaan berusaha untuk membina bangunan baharu iaitu bangunan ketiga yang mempunyai enam bilik darjah, satu bilik staf/klinik pergigian yang siap pada tahun 1969.

Sekitar tahun 1974, Kerajaan Persekutuan mula mengambil alih pentadbiran sekolah dan bahasa Malaysia dijadikan sebagai bahasa pengantar.

Sejajar dengan hasrat itu, nama sekolah ditukar kepada SRK Datuk Awang Udin, Mukah. Nama itu kekal hingga hari ini.

Bilangan pelajar kian meningkat, dan sekali lagi sekolah menjadi sesak.

Kerajaan kemudian merancang membina bangunan tambahan.

Pada akhir tahun 1979, bermula projek pembinaan sebuah bangunan tambahan – bangunan keempat.

Bangunan konkrit tiga tingkat ini siap pada awal 1981 dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia ketika itu Dr. Sulaiman Daud pada 30 Julai 1986.

Bangunan tambahan ini merangkumi lapan bilik darjah, satu bilik sumber, satu pejabat am (bilik guru besar, bilik cetak), satu kantin, tandas staf dan murid serta satu bilik kakitangan sekolah.