KUCHING: Mengambil kira keadaan semasa untuk memulihkan ekonomi, negara kita tidak boleh lagi melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, ini kerana proses pemulihan yang telah dimulakan sejak Mei hingga Jun lalu dengan suntikan dana oleh Kerajaan Persekutuan melalui Penjana 1 dan 2 perlu digerakkan secara berterusan.

“Kerajaan juga ingin melihat hasil ataupun impak daripada sumbangan yang diberikan melalui Penjana dan Prihatin.

“Jika kerajaan bertindak menguatkuasakan semula PKP di seluruh negara, maka dikhuatiri segala apa yang dirancangkan akan lenyap begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahli Parlimen Santubong itu turut menyambut baik dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak melaksanakan kembali PKP di seluruh negara, tetapi mengadakan kawalan setempat melalui sekatan pergerakan bagi kawasan tertentu dalam kategori zon merah.

“Saya masih ingat apa yang disebut oleh Perdana Menteri pada 4 Mei lalu iaitu kerajaan kehilangan RM2.4 billion sehari kesan daripada pelaksanaan PKP dan perkara ini mesti dielakkan daripada berulang.

“Bagaimanapun, kita berharap agar pihak peniaga dapat mematuhi SOP yang ditetapkan, selain masyarakat mematuhi SOP yang telah digariskan jika tidak mahu ‘Abah rotan lagi’ demi kebaikan seluruh negara dan keluarga kita semua,” ujarnya.

Tambahnya, Medac melalui agensi-agensinya sedang rancak menjalankan latihan bagi meningkatkan motivasi PKS untuk terus menjalankan perniagaan walaupun berhadapan situasi yang tidak menentu kesan daripada penularan wabak Covid-19.