PEMIMPIN memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti dan kejayaan sesebuah negara. Tanpa pemimpin, rakyat mungkin akan hidup dalam keadaan tidak terurus.

Seseorang pemimpin perlu mempunyai kredibiliti kepemimpinan seperti kualiti, keupayaan atau kekuatan untuk menimbulkan kepercayaan.

Sering kali kita dengar, setiap daripada kita mampu menjadi pemimpin.

Malah kita juga pemimpin kepada diri kita sendiri. Di sesebuah kampung, sudah tentu pemimpin memainkan peranan penting untuk membawa kampung tersebut menjadi penempatan yang membangun dan tidak ketinggalan oleh peredaran zaman.

Namun, adakah setiap pemimpin di peringkat kampung seperti ketua kampung, ketua masyarakat atau tuai rumah mempunyai kredibiliti yang tepat untuk membangunkan kawasan mereka sendiri? Adakah seseorang pemimpin itu perlu memiliki pendidikan setaraf bagi melayakkan mereka menjadi pemimpin?

Jika dahulu, pelantikan tuai rumah di sesebuah kampung dibuat mengikut dasar percaya dan kemampuan individu itu untuk memimpin rakyatnya.

Selain itu, individu itu perlu sekurang-kurangnya tahu membaca dan menulis untuk melayakkan mereka dapat dilantik sebagai tuai rumah.

Kini, zaman sudah berubah. Bukan sahaja nilai kepercayaan dan kemampuan individu diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin.

Pendidikan juga penting bagi seseorang pemimpin.

Malah banyak kes dilaporkan pemimpin sanggup memalsukan sijil pendidikan mereka agar tampil hebat dan kelihatan berpendidikan di hadapan rakyat.

Baru-baru ini, Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera Datuk John Sikie Tayai dipetik berkata, seseorang tuai rumah yang dilantik sekurang-kurangnya perlu mempunyai sijil tamat Tingkatan 3 selain celik membaca dan menulis.

Joseph menyerahkan dokumen perjanjian Skim Pinjaman Perumahan Rumah Panjang (SPPRP) kepada Tuai Rumah Joseph Mong.

Tanggungjawab besar

Menurut beliau, hal ini kerana sebagai ketua masyarakat, mereka mempunyai tanggungjawab besar selain menjadi ketua di rumah panjang.

Sudah tentu, seorang ketua masyarakat bukan hanya memimpin rakyat di penempatan mereka tetapi juga menjadi orang tengah kepada kerajaan dan rakyat itu sendiri.

Bagaimana ingin menjadi seorang ketua jika tidak tahu menjaga kebajikan rakyat? Bantuan yang sepatutnya diberikan tidak disampaikan kepada rakyat.

Akhirnya rakyat menyalahkan kerajaan kerana tidak memberikan bantuan. Perkara seperti ini sering kali terjadi tetapi hanya dipandang remeh oleh sesetengah masyarakat.

Bukan itu sahaja, ketua masyarakat perlu tahu mengenai teknologi terkini dan mendidik rakyat di penempatan itu untuk celik teknologi.

Ini kerana kebanyakan prosedur yang berkaitan dengan bantuan kini disalurkan melalui laman sesawang kementerian atau agensi berkaitan bagi memudahkan masyarakat menerima maklumat dan borang permohonan bantuan itu.

Memang masih ada kaedah manual yang sering digunakan dari dahulu sehingga sekarang, tetapi dengan adanya teknologi terkini, masyarakat tidak perlu beratur panjang di kaunter, menunggu penjelasan yang lama hanya untuk mendapatkan bantuan.

Di sinilah ketua masyarakat memainkan peranan penting untuk rakyatnya.

Bukan hanya menerima gaji dan elaun bulanan tanpa memajukan rakyat dan penempatan mereka. Seseorang pemimpin perlu tahu untuk memudahkan kehidupan rakyatnya.

Ini supaya rakyat juga tidak ketinggalan dalam peredaran zaman. Kendatipun berpendidikan tetapi tidak tahu memimpin, itu tidak menjelaskan seseorang itu mampu memimpin rakyat dengan baik.

Justeru, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, ketua masyarakat perlu tahu membawa pembangunan di penempatan mereka. S

eperti yang dikatakan oleh salah seorang penulis buku Amerika Syarikat Sheri Linn Dew, pemimpin sejati memahami bahawa kepemimpinan bukanlah tentang mereka sendiri tetapi tentang mereka yang dilayani. Ini bukan tentang meninggikan diri mereka sendiri tetapi tentang mengangkat orang lain.