KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menegaskan semua warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia akan dikuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin bermula 10 Oktober ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ujian Covid-19 akan diambil pada hari kedua dan ke-10.

“Kos kuarantin dan ujian Covid19 akan ditanggung individu itu sendiri.

“Hanya rakyat Sarawak akan ditanggung Kerajaan Sarawak

“Keputusan ini diambil setelah bermesyuarat hari ini (semalam) susulan peningkatan kes di Sarawak,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, PDRM akan melakukan pemantauan ketat kepada sesiapa yang diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

“Sesiapa yang didapati melanggar arahan tersebut, boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” jelasnya.

Beliau yang juga pengerusi JPBN mendedahkan, PDRM mendapati seorang lelaki melanggar Perintah Duduk Rumah dan dikenakan kompaun.

“Bagi sesiapa yang mendapati rumah mereka tidak sesuai untuk perintah berkenaan, mereka boleh memohon untuk pusat kuarantin,” ujarnya.