KUCHING: Rakyat tempatan atau warganegara asing yang memasuki Sarawak terutamanya dari kawasan wabak Covid-19 mesti berdisiplin dan bertanggungjawab bagi mengelak penularan jangkitan tempatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, mereka mesti mematuhi perintah kuarantin serta mengasingkan diri daripada keluarga dan orang luar.

“Kita mahu Sarawak menjadi tempat paling selamat di Malaysia untuk membolehkan kita terus bergerak tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan norma baru.

“Kita pernah mengalami banyak kesukaran dan sudah pasti tidak mahu terkurung lagi seperti yang berlaku di Kota Kinabalu dan beberapa tempat lain di Malaysia ketika ini,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya, semalam.

Adun Batu Kawa itu menambah, tanggungjawab rakyat Sarawak adalah untuk memastikan tiada jangkitan tempatan Covid-19 di negeri ini dalam usaha mengelak gelombang ketiga wabak tersebut.

“Hanya satu atau dua kes tempatan yang ‘terlepas’ ke dalam negeri, kita akan menjadi seperti Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Jangan melancong ke luar Sarawak, jika anda sayangkan Sarawak! Jangan datang ke Sarawak, jika anda mencintai Sarawak! Lindungi diri anda, keluarga, rakan dan Sarawak.

“Justeru, marilah kita bersama-sama mencegah Covid-19 memasuki Sarawak kerana ia pilihan yang lebih baik daripada meratakan lekukan (sekiranya berlaku lonjakan kes),” tegasnya.

Dr. Sim turut menggesa penduduk Sarawak untuk tidak melakukan perjalanan ke luar Sarawak jika mereka mencintai negeri ini dan mereka yang ingin kembali ke negeri ini untuk tetap tinggal.