SIBU: Masyarakat Islam di sini dijangka dapat menggunakan tanah perkuburan Islam yang baharu di sini yang terletak di Kemuyang sebelum Mac tahun depan.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee ketika ditemui selepas meninjau tapak perkuburan tersebut, semalam.

Beliau berkata, perkembangan proses pembinaan tanah perkuburan Islam tersebut kini berjalan lancar.

“Pembangunan tanah perkuburan seluas 30 ekar ini melibatkan pembinaan pejabat pentadbiran dan bangunan pengurusan jenazah.

“Oleh itu, sama-samalah kita doakan agar tanah perkuburan ini dapat digunakan sebelum Mac 2021,” jelasnya yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Menurutnya, pembangunan tanah perkuburan Islam di Kemuyang itu dibangunkan secara terancang dan sistematik bagi memberikan keselesaan kepada umat Islam di Sibu untuk urusan pengebumian dan menziarahi kubur.

Adun Nangka itu turut memberitahu, tanah perkuburan tersebut juga mempunyai sebuah surau yang mampu memuatkan 50 jemaah.

“Jalan di kawasan perkuburan juga dinaik taraf dan akan diturap.

“Kita juga menggunakan sistem lot kubur. Jenazah dikebumikan di kawasan lot yang disediakan.

“Lot itu kemudian kita sertakan dengan nombor sebagai rujukan ahli keluarga yang mahu menziarahi kubur ahli keluarga masing-masing,” jelas beliau lagi.

Dengan adanya tapak perkuburan baharu itu, ia akan mengatasi masalah kesesakan di Tapak Perkuburan Islam Sibu di Jalan Tun Abang Haji Openg (bersebelahan Masjid Al-Qadim, Sibu)