KUCHING: Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim berharap Pusat Komuniti Digital (DCC) diperluaskan ke kawasan MPP dan Samarahan.

Beliau berkata, dengan adanya DCC di kawasan tersebut, ia dapat menyediakan perkhidmatan seperti platform komuniti digital, pusat pembangunan kemahiran dan bakat, penyelidikan dan pembangunan masyarakat, rundingan dan kaunseling, mentor, pusat pertemuan belia, kemudahan kerja/ seminar serta kemudahan Internet percuma.

“Sebagai contoh mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang ingin menjalankan perniagaan secara dalam talian, inilah ruang yang harus kita kuasai kerana banyak kelebihannya seperti penjimatan kos, masa dan keluasan jaringan perniagaan.

“Selain itu, teknologi digital juga dapat digunakan dalam pendidikan melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti.

“Ia akan dapat mendidik pelajar untuk lebih kreatif dan inovatif selain mahir berkomunikasi bagi memudahkan pelajar menyiapkan tugasan serta mendapat pelbagai jenis maklumat dengan lebih cepat dan tepat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran DCC Sungai Maong, di sini pada Rabu.

Malah sempena majlis dan menerusi DCC Sungai Maong, Ahmad bersama-sama yang lain turut mengikuti perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak ke-4 (IDECS) 2020 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Justeru, beliau amat menyokong penubuhan DCC, yang merupakan salah satu inisiatif Pustaka Negeri Sarawak bagi menyahut saranan Abang Johari yang mahu menjadikan anak Sarawak sebagai komuniti yang celik digital.

Tambahnya, ia khususnya kepada masyarakat di luar bandar agar tidak ketinggalan dalam bidang teknologi digital yang selaras dengan Dasar Digital Ekonomi Sarawak.

Selain itu Ahmad berkata, pelaksanaan teknologi digital ketika pandemik Covid-19 bukan lagi satu pilihan tetapi sudah menjadi keperluan kerana perlunya penjarakan fizikal serta keterbatasan pergerakan dalam memenuhi kehendak norma baharu.

“Dalam kita menggunakan platform digital tanpa sempadan ini, haruslah kita sentiasa beringat supaya menggunakan pengetahuan dan kebijaksanaan kita dalam menentukan fakta dan maklumat sahih dan benar yang boleh digunakan bagi mengelakkan kita terjebak dengan maklumat atau berita palsu.

“Saya berharap DCC disambut baik oleh semua penduduk setempat dan diguna pakai dengan bijak untuk tujuan yang betul dan berfaedah,” katanya.

Ahmad berkata pada masa ini, dua Perpustakaan Desa di bawah pentadbiran MPP iaitu Perpustakaan Desa Sungai Maong dan Perpustakaan Desa Pekan Batu Kawa dipilih sebagai DCC.