BINTULU: Penduduk di kawasan Samalaju disaran mempertahankan perpaduan dan keharmonian di rumah panjang.

Adun Samalaju Majang Renggi berkata, ia penting bagi mengelak berlakunya sebarang persengketaan atau perpecahan dalam kalangan penduduk.

Berucap pada majlis kesyukuran di Rumah Ngelambong Jarak, Batu 26, Jalan Bintulu-Miri, semalam, beliau menegaskan kerjasama dan persefahaman antara penduduk akan memudahkan sebarang urusan terutama melibatkan kemajuan dan pembangunan sesebuah rumah panjang.

Pada masa yang sama, Adun Samalaju menasihati penduduk di kawasan berkenaan terutama belia dan mahasiswa agar bijak merebut peluang yang disediakan di kawasan Samalaju yang sememangnya memerlukan ramai tenaga kerja.

Pasaran kerja serta peluang niaga yang ditawarkan ini sudah pasti mampu mengubah status sosioekonomi penduduk setempat ke arah yang lebih baik, seterusnya mengeluarkan mereka daripada kemiskinan, sekali gus membantu melonjakkan ekonomi di kawasan berkenaan.