KUCHING: Seorang pekerja ladang dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan lima sebatan atas kesalahan merompak dan merogol bekas teman wanitanya di sebuah ladang kelapa sawit Lundu pada 2 September lepas.

Hakim Mahkamah Majistret Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad, menjatuhkan dua hukuman berturut-turut bagi kedua-dua kesalahan, semalam.

Kesalahan pertama di bawah Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan kerana merogol dengan hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan.

Kesalahan kedua, tertuduh dipenjara tujuh tahun dan satu sebatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak telefon bimbit milik mangsa.

Menurut fakta kes, tertuduh berusia 27 tahun dari Miri membawa bekas teman wanitanya menggunakan sebuah motosikal untuk meninjau tempat mangsa akan bekerja sebagai kerani.

Dari Pengkalan Feri Rambungan, tertuduh membawa mangsa menuju ke jalan sebuah ladang kelapa sawit sebelum dirogol dan merompak telefon bimbit milik mangsa.

Mangsa turut diugut dan dipaksa menuruti kehendak tertuduh sekiranya tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Selepas kejadian malang itu, mangsa merayu untuk dihantar pulang ke rumah, namun ditinggalkan di tepi jalan oleh tertuduh yang kemudian melarikan diri ke jalan raya utama.

Mangsa yang tiba di rumah terus memaklumkan kepada kakaknya tentang kejadian berkenaan dan membuat laporan polis.

Di hospital, mangsa disahkan mengalami cedera ringan dan laporan psikiatri menyatakan mangsa mengalami masalah kemurungan dan gangguan tekanan akut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj.

Terdahulu pada 28 September, tertuduh turut disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan selepas mengaku bersalah merompak seorang wanita dengan mengambil rantai emas milik mangsa pada Julai lalu.

Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta satu sebatan.