GOLONGAN muda merupakan aset penting negara untuk memastikan pembangunan dapat terus bergerak ke hadapan.

Jika tiada generasi baharu yang berkualiti, pembangunan negara akan perlahan.

Sebaik menamatkan pelajaran, langkah seterusnya bagi orang muda pastinya menuju ke alam pekerjaan dan kemudian perlahan-lahan mengatur kehidupan agar dapat mencapai kestabilan hidup.

Namun, dugaan untuk mencapai kestabilan itu ternyata amat besar, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh persaingan ini.

Ramai yang ingat bahawa selepas berhasil mendapatkan sesuatu pekerjaan, ia akan menjadi lebih mudah.

Tetapi, sangkaan itu boleh dikatakan meleset sama sekali. Dengan adanya punca pendapatan, pastinya muncul tuntutan lain.

Membeli rumah merupakan salah satu yang perlu difikirkan anak muda sebaik berjaya mendapat pekerjaan.

Penting untuk memiliki rumah jika ingin mencapai kestabilan. Namun, melihat harga rumah yang kebanyakan agak tinggi, ia menjadi semakin jauh daripada gapaian anak muda yang baharu menikmati gaji permulaan.

Ini sedikit banyak memberikan tekanan kepada mereka kerana hanya mampu menyewa rumah bahkan sebuah bilik kecil sahaja.

Harga juga kadang-kadang tidak masuk akal.

Sewa rumah mahal

Jika di bandar besar, sewa sebuah rumah boleh mencecah RM800 hingga RM1,000 manakala untuk satu bilik tidur pula mencecah RM400 ke atas.

Ini antara yang menjadi dilema anak-anak muda hari ini. Jika diikutkan, golongan ini memang perlu dibantu bagi mengelakkan timbul masalah-masalah lain.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, belia aset negara, maka mereka perlu dipelihara dengan bimbingan dan kemudahan yang baik agar dapat membantu meningkatkan pembangunan negara.

Ramai beranggapan anak-anak muda suka bermewah, berbelanja sesuka hati dan tidak memikirkan masa hadapan.

Bagaimana pula jika ada antara mereka yang benar-benar ingin memiliki rumah?

Apakah pilihan yang disediakan untuk mereka?

Di Sarawak, pelbagai inisiatif dan dasar diperkenalkan oleh kerajaan yang mentadbir untuk membantu rakyatnya memiliki rumah sendiri.

Salah satunya pelaksanaan projek perumahan Rumah Spektra Permata (RSP) iaitu satu program perumahan yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 15 Februari 2017.

Memiliki rumah sendiri

Melalui program itu, rakyat dapat memiliki sebuah rumah jenis setingkat dengan keluasan 750 persegi, yang memiliki tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu ruang makan yang dijual pada harga RM120,00 ke bawah.

Rumah tersebut khusus untuk isi rumah yang tidak memiliki mana-mana hartanah yang berpendapatan bawah RM6,000 sebulan.

Bukan itu sahaja, dalam dasar perumahan baharu itu, Kerajaan Sarawak mengambil langkah mewujudkan institusi kewangan sendiri selepas mendapati ramai pembeli gagal mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

Jelas di sini, dasar tersebut dilaksanakan untuk memastikan rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah juga berpeluang memiliki kediaman lebih selesa.

Pada Februari lalu, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapee dalam satu kenyataan memberitahu, maklum balas daripada rakyat baik, malah terdapat banyak permintaan terhadap rumah tersebut.

Katanya lagi, sebanyak 2,500 unit rumah tersebut akan dibina dalam tempoh ditetapkan iaitu 2019 hingga 2021.

Melihat usaha yang dilakukan pihak kerajaan, golongan muda perlu mula memainkan peranan untuk menyambut baik usaha tersebut sebaik berjaya mendapat pekerjaan.

Mulakan dengan menyimpan impian untuk membeli rumah pertama kerana ia dapat dijadikan sebagai pelaburan masa hadapan.

Kemudian semaikan tabiat menyimpan sebahagian gaji berbanding berbelanja kerana penting bagi golongan muda mengurus kewangan sendiri.