SIBU: Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memastikan pembaikan sekolah daif di negeri ini terus dilaksanakan.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata, pada masa yang sama Kerajaan Sarawak akan meneruskan rancangan untuk menubuhkan sekolah antarabangsa.

“Ada yang bertanya mengapa kita perlu mendirikan sekolah tersebut dan bukannya menumpukan pada pembaikan sekolah daif di negeri ini?

“Terdapat banyak persepsi yang salah mengenai perkara ini. Kami juga akan terus memperbaiki sekolah daif,” katanya semasa merasmikan Pusat Komunikasi Digital di Dewan Serba Guna Kampung Bahagia Jaya Teku, semalam.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak tidak dapat menunggu untuk kerja-kerja pembaikan sekolah daif selesai sebelum mendirikan sekolah antarabangsa.

“Pembangunan seperti itu mesti dilakukan secara selari agar kita tidak ketinggalan dari negeri lain,” katanya yang juga Adun Nangka.

Bercakap mengenai penubuhan Pusat Komunikasi Digital, beliau memberitahu, ia merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menggalakkan generasi muda terutamanya pelajar menguasai kemahiran digital.

Menurutnya, ia selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi digital yang kini sedang rancak dilaksanakan oleh kerajaan.

“Golongan muda tanpa mengira mereka yang berada di bandar mahupun luar bandar harus menguasai kemahiran digital.

“Dengan adanya kemahiran ini, anak-anak kita akan mendapat akses tanpa sempadan, sekali gus akan memajukan mereka.

“Jika anda tidak menguasainya, mereka akan ketinggalan,” ujarnya lagi.

Pembukaan pusat itu diadakan bersempena pelancaran Persidangan Digital Ekonomi Antarabangsa Sarawak 2020 oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kuching pada Rabu.