DEBAK: Kawasan Lubok Tamang dalam kawasan Taman Pertanian Saribas dicadang dipertimbangkan untuk menggunakan konsep taman kekal pengeluaran makanan (TKPM).

Adun Saribas Mohammad Razi brkata, kawasan sekitar Lubok Tamang akan menjadi nadi kemajuan pertanian di Saribas.

Menurutnya, kedua-dua projek berimpak tinggi iaitu pembinaan jajaran baharu Suri-Tuie dan Taman Pertanian Saribas kini dalam pelaksanaan.

“Usaha ini untuk melonjakkan aktiviti ekonomi, sekali gus membuka banyak peluang kepada penduduk.

“Bagaimanapun, saya mencadangkan Taman Pertanian Saribas mengguna pakai konsep TKPM dengan menggalakkan penduduk terlibat dalam pertanian terutama golongan muda.

“Ini kerana potensi pertanian hari ini lebih berfokus kepada komersial dan bukannya sara hidup seperti sebelum ini,” katanya pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Siri Kedua Dun Saribas yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di rumah panjang Kamarau Changgan, Munggu Prin, pada Rabu.

Kerajaan GPS jelasnya, peka untuk mengatasi masalah pasaran yang sering dihadapi oleh petani sebelum ini. “Justeru konsep ‘syarikat peneraju, peladang kontrak’ akan diguna pakai.

Syarikat peneraju ini merupakan pihak swasta yang mempunyai hubungan dengan pasaran luar. “Ini akan memastikan semua rangkaian pengeluaran sehingga ke aspek pemasaran berjalan lancar.

“Apabila diusahakan secara individu, ia sukar menembusi pasaran berbanding menggunakan khidmat mereka yang berpengalaman seperti syarikat peneraju.

“Maknanya, pekebun tidak perlu risau tentang pasaran,” ujarnya.

Selain kawasan taman pertanian tersebut, kerajaan katanya, turut memfokuskan rancangan di tanah-tanah terbiar di setiap kampung dalam Dun Saribas untuk pelbagai aktiviti pertanian sebagai sokongan.

“Untuk fokus, kita menggalakkan tanaman yang menguntungkan seperti nanas, kelapa termasuk durian Musang King di kawasan berbukit.

“Projek kelapa pandan lebih 100 ekar di Buda Ulu dan Ili sudah bermula, selain tanaman pisang dan nanas di Jalan Blassau,” jelasnya.