KUCHING: Industri pemeliharaan lebah dan kelulut berpotensi diperluas, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, negeri ini mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian sumber alam semula jadi yang masih dipelihara.

“Di Sarawak, pengusaha yang terlibat dalam industri ini mampu menghasilkan kira-kira 90 tan metrik madu dengan nilai jualan mencecah RM13 juta setahun.

“Kebanyakan pengusaha di Sarawak terlibat dalam pemeliharaan dan pengeluaran, lebah dan kelulut dari Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah serta Miri.

Kesemuanya dengan anggaran sekitar 30,000 koloni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Pelancaran Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia Pemeliharaan Lebah (Tribus apini) dan Kelulut (Tribus meliponini) (myGAP Malaysia), di Hotel Pullman di sini, semalam.

Tambahnya, sumbangan industri kelulut yang disenarai di bawah industri pertanian negara kini dianggarkan melebihi RM60 juta.

“Jumlah itu dijangka meningkat setiap tahun. Oleh sebab itu, industri penternakan kelulut amat berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan dan menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi pengusahanya.

“Secara purata, satu koloni kelulut boleh dituai sebanyak lapan kali setahun dengan hasil 0.5 kilogram sekali tuaian pada harga RM120 hingga RM150 sekilogram,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, industri ini boleh menghasilkan produk hiliran seperti madu kelulut dan propolis. “Kajian mendapati produk ini mempunyai potensi yang tinggi kerana sumbangannya dalam bidang kesihatan dan kecantikan.

“Ia juga menyumbang kepada permintaan yang tinggi terhadap madu kelulut dan disenaraikan sebagai makanan berkhasiat tinggi oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Selain itu, pemeliharaan lebah kelulut di kawasan pertanian mena warkan pendebungaan semula jadi amat penting dalam pemuliharaan dan kemampanan ekosistem. “Ia seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran pengusaha,” katanya.

Beliau mendedahkan, antara produk sampingan yang boleh dihasilkan ialah sabun madu kelulut, pencuci muka dan banyak lagi.