DALAM kesibukan melawan Covid-19 yang menyerang seluruh dunia, negara dikejutkan pula dengan penyebaran maklumat salah – berita tidak benar.

Ia juga boleh dianggap sebagai wabak membimbangkan yang mudah merebak dengan adanya jaringan Internet.

Maklumat salah dan berita tidak benar ini yang juga sinonim sebagai berita palsu dianggap sebagai maklumat tidak tepat serta mengelirukan dengan tujuan untuk menipu orang lain.

Dengan adanya kemudahan teknologi dan kelajuan Internet hari ini, telah lahir wartawan rakyat tidak bertauliah yang aktif dan rajin menyebarkan berita palsu palsu.

Semuanya disebarkan hanya melalui hujung jari dengan menekan tanda kongsi di media sosial.

Sekejap sahaja berita itu mencetus suasana panik dalam kalangan masyarakat, negara bahkan juga dunia.
Kajian membuktikan hampir 91.3 peratus netizen pernah menerima berita palsu daripada media sosial.

Ia kemudian dikongsi melalui WhatsApp, yang bermakna semakin ramai menerima dan membaca berita palsu, kemudian berkongsi pula dengan orang lain.

Menurut ahli psikologi Adam Kucharski, ramai individu tidak bijak untuk mengenal pasti maklumat mengelirukan, terutama di media sosial.

Disebabkan ketidakpastian mengenai sesuatu maklumat, ada yang membiarkan sahaja mereka dipengaruhi berita tersebut.

Biasanya berlaku kepada individu yang mudah mempercayai sesuatu maklumat dan berita.

Bagi yang sentiasa meneliti setiap berita yang diterima, mereka tidak akan percaya bulat-bulat berita itu dan tidak akan berkongsi berita itu jika didapati tidak sahih.

Dalam keadaan negara bergelut dengan Covid-19 dan pemikiran tidak logik individu telah membawa kepada tindakan yang merosakkan, misalnya berlaku pembelian panik disebabkan berita tidak benar yang dijaja di media sosial.

Impaknya, masyarakat panik dan perlu segera membuat pembelian panik yang turut memburukkan lagi keadaan ekonomi.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, pembelian panik yang berlaku boleh memudaratkan situasi ekonomi semasa.

Katanya, pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh sebahagian besar pengguna dalam satu satu masa akan mendedahkan kepada manipulasi pasaran.

“Harga akan cenderung meningkat apabila bekalan barangan yang ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan pembelian panik.

“Peningkatan harga perlu dielakkan ketika rakyat sedang berdepan dengan kekangan kewangan,” ujarnya.

Selain itu, pembelian panik juga boleh menyusahkan masyarakat setempat apabila terpaksa beratur panjang untuk membeli barang keperluan.

Seperti yang berlaku baru-baru ini, penyebaran maklumat palsu mengenai kekurangan bekalan petrol di kawasan utara Sarawak menyebabkan pemandu melakukan pembelian panik di stesen minyak.

Hal ini menyebabkan kesesakan teruk apabila kenderaan terpaksa beratur panjang melebihi satu kilometer bagi mendapatkan bekalan minyak tersebut.

Untuk itu, kerajaan serta agensi berkaitan perlu memberikan maklumat lengkap dan tepat kepada orang ramai mengenai fakta sebenar isu setempat untuk mengelakkan berlakunya salah faham rakyat.

Laman khas boleh diwujudkan di media sosial bagi menyalurkan apa-apa perkara yang sahih sebagai panduan kepada masyarakat setempat.

Sekiranya kerajaan boleh mengatasi ketakutan dan ketidakpastian orang ramai, ia boleh mengurangkan panik dan pembelian minit terakhir.

Semua masyarakat juga perlu bijak menilai sesuatu yang tular di media sosial dengan menyelidik telebih dahulu sumber berkenaan.

Media sosial bukan platform untuk menjadi hero tular dan bukan juga tempat untuk menyebar maklumat palsu atau tidak sahih.

Media sosial merupakan satu platform baharu untuk terus berhubung di alam maya dan bukan juga penjara sosial alam maya.

Hakikatnya, kewujudan media sosial cuba mendekatkan kita tanpa batasan ruang kerana kemajuan dan kelajuan rangkaian Internet.

Namun, keterbukaan di media sosial bukan wadah untuk kita bebas mengekspresi pemberontakan jiwa.

Kita bertanggungjawab atas apa-apa yang kita mahu tularkan bukan untuk dipuji kerana menjadi insan terawal menyiar dan membuat perkongsian sesuatu berita dengan warga alam maya.