MEDIA sosial merupakan platform terkini masyarakat untuk mengakses pelbagai maklumat baharu dengan lebih pantas, termasuk isu politik.

Hari kini, media sosial telah membawa perubahan ketara kepada warganet dalam penyebaran berita atau maklumat mengenai hal ehwal semasa dan politik.

Oleh itu, kita akan melihat sejauh mana penggunaan media sosial dalam politik oleh masyarakat dan ahli politik di negara ini Pada zaman teknologi tinggi ini, media sosial menjadi sumber utama maklumat politik memandangkan Malaysia mengamalkan prinsip negara demokrasi.

Tidak dapat dinafikan media sosial memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat. Dengan adanya media sosial, rakyat negara ini semakin aktif terlibat dengan politik.

Dalam konteks politik, media sosial menjadi alat berpengaruh kerana menyediakan ruang yang luas kepada rakyat untuk melibatkan diri dalam politik secara bebas dan tanpa tekanan.

Justeru itu, dengan adanya media sosial, masyarakat bebas mengakses platform tersebut, malah bebas berinteraksi yang seterusnya mampu mempengaruhi sesuatu tindakan politik.

Secara dasarnya, ruang ini sangat sesuai dengan praktik sistem demokrasi yang diamal oleh kebanyakan negara kerana memberi hak dan kebebasan untuk bersuara.

Tidak hanya itu, media sosial yang terkawal boleh memberikan impak positif yakni dapat membantu negara. Dalam usaha membantu masyarakat untuk turut serta dalam politik, media sosial juga mampu mencelikkan minda masyarakat terhadap politik.

Walaupun isu kebebasan media sosial ini selari dengan prinsip demokrasi, aktiviti dan penggunaan media sosial tanpa sebarang kawalan boleh memberikan impak negatif kepada negara dan masyarakat untuk jangka panjang.

Penggunaan Internet menjadi lebih berleluasa kerana media sosial menjadi medium mudah dan pantas untuk mendapatkan maklumat atau berita berbanding akhbar, namun kesahihan maklumat tersebut belum dapat ditentukan.

Jika kita melihat media sosial hari ini, kebanyakan netizen sering berkongsi maklumat meskipun berita tersebut tidak mempunyai kebenaran mutlak, apatah lagi fakta dan fiksyen yang sering dicampur aduk untuk mencapai agenda tersembunyi.

Jika dahulu propaganda mahupun fitnah ditabur secara bersemuka dan media massa, namun hari ini Internet merupakan pilihan utama.

Oleh itu, maklumat yang disebar melalui media sosial tidak dapat ditentusahkan dari segi fakta, lantas boleh menimbulkan pelbagai maksud serta persepsi negatif yang lari daripada maksud asal ia dimuat naik.

Selain itu, media sosial juga boleh menjadi ruang untuk masyarakat menyuarakan pendapat termasuk berkaitan politik secara bebas.

Namun, kebebasan menggunakan ruang siber untuk membuat komen di media sosial bukan lesen bagi mana-mana individu menghina dan memperlekeh orang lain.

Justeru itu, semua pihak perlu peka akan masalah ini, seterusnya memberi peluang kepada masyarakat untuk memeriksa dengan betul. Bukan menjadi pengkritik serta pemerhati dari tepi sahaja menggunakan fakta yang salah.

Dalam konteks parti politik, media sosial berupaya mempengaruhi pemikiran politik masyarakat. Namun, ia bergantung kepada parti politik itu sendiri sama mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi masyarakat.

Melihat ruang kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat politik di media sosial, ia membolehkan pemimpin dan rakyat berinteraksi. Justeru media sosial dapat mempengaruhi pandangan, bahkan memberikan kesan terhadap budaya politik negara.

Bagi sesetengah ahli politik, mereka tidak bersetuju terhadap calon yang hanya menggunakan media sosial untuk berpolitik termasuk berkempen.

Sebaliknya, mereka digalak untuk kerap turun padang menemui rakyat. Kesimpulannya, media sosial akan memberi kesan positif dan impak negatif kepada masyarakat.

Kita sebagai rakyat perlu bijak menggunakan media sosial dan mengambil peluang ini untuk meningkatkan pengetahuan mengenai dunia politik lebih-lebih lagi bagi masyarakat yang berada di luar bandar atau pedalaman.