KUCHING: Tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan keyakinan diri berjaya mengatasi perasaan malu di hadapan kamera.

Pembaca berita TVS, Noorul Ismail, 27, berkata, belajar daripada pengalaman banyak memberi keyakinan untuk tampil lebih bergaya di hadapan kamera.

Menurutnya, dia sentiasa belajar daripada mereka yang senior terutama untuk mendapat pandangan dan nasihat.

“Saya pernah bergelar wartawan. Tidak dinafikan, bidang kewartawanan tidak sama seperti bidang penyiaran.

“Namun kita perlu sentiasa belajar daripada senior untuk mendapatkan pandangan serta nasihat mereka,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Pejabat Kumpulan Media Sarawak (SMG), semalam.

Beliau mengakui, antara cabaran bagi mereka yang bergelar pengacara dan penyampai berita ialah mereka perlu pantas mengejar peredaran teknologi terutama dalam mengendalikan program berdasarkan isu semasa.

Noorul berkata, saingan sihat dalam kalangan pengacara dan penyampai berita dapat diwujudkan melalui pertubuhan industri penyiaran.

“Mereka yang masih muda dan berpengetahuan tinggi mempunyai peluang lebih cerah untuk menarik perhatian umum dalam mencuri tumpuan dan menonton program yang dikendalikan,” katanya.

Selain menjadi penyampai berita di TVS, Noorul turut tampil sebagai antara pengacara dalam rancangan Borak Teh C Peng.