KUCHING: Menjadi seorang personaliti televisyen bukan tiket untuk mengejar populariti, tetapi perlu menyampaikan maklumat yang berkualiti kepada penonton.

Pembaca Berita TVS, Priscilla John Pillai, 26, berkata dia mula berkecimpung dalam industri penyiaran sebagai pembaca berita Iban.

“Tanggungjawab untuk menyampaikan berita dalam bahasa Iban ini bukan perkara yang mudah, kerana saya kurang mahir dalam penggunaan bahasa Iban standard.

“Bagaimanapun, saya cuba mempertingkat kemahiran dalam bahasa Iban dengan terus belajar daripada mereka yang berpengalaman dan sentiasa belajar daripada kesilapan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Pejabat Kumpulan Media Sarawak (SMG) di sini, semalam.

Tambahnya, penggunaan bahasa Iban sangat terhad dalam bidang penyiaran dan ia juga digunakan secara berbeza-beza dalam sesuatu kawasan.

“Kebiasaannya, dalam bidang penyiaran kami menggunakan bahasa Iban Saratok sebagai standard dan boleh diterima umum.

“Impian saya sendiri juga ingin melihat bahasa Iban ini digunakan secara meluas khususnya dalam bidang penyiaran kerana ia memudahkan berita disampaikan kepada komuniti kami,” ujarnya.

Menurutnya, selain menyampaikan berita dalam bahasa Iban dia turut membaca berita bahasa Melayu dan ini merupakan satu cabaran.

“Apabila diminta untuk menyampaikan berita dalam bahasa Melayu, pertuturan merupakan satu cabaran untuk saya kerana sudah terbiasa dengan bahasa Iban, ini adalah cabaran yang perlu saya atasi.

“Dalam bidang ini, saya perlu bersedia dengan kemungkinan yang bakal dihadapi serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran,” ujarnya.

Berkongsi tentang persediaan yang dilakukan sebelum membaca berita katanya, dia akan sentiasa berlatih sebelum membaca berita secara langsung.

“Sebelum membaca berita, saya akan berlatih dengan membaca skrip berita di studio kerana ingin memastikan tiada kesalahan.

“Tidak dinafikan, perasaan gemuruh di hadapan kamera itu ada. Tetapi saya berpegang kepada prinsip untuk sentiasa berlatih bagi mengatasinya,” jelasnya.