MIRI: Syarikat minyak yang beroperasi di negeri ini perlu memantau keselamatan kakitangan pesisir pantai berikutan peningkatan pandemik Covid-19 secara mendadak, ketika ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan syarikat minyak dan gas bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita sudah pasti akan bekerjasama dengan pemain industri minyak dan gas untuk melindungi kakitangan atau kru mereka daripada dijangkiti virus Covid-19.

Pada masa sama, ia untuk memastikan operasi minyak dan gas tidak terganggu akibat pandemik ini,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Khamis selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Operasi Petronas Carigali Sdn Bhd Wilayah Sarawak.

Kin Shin yang juga Adun Senadin menjelaskan, penting untuk semua pihak termasuk syarikat minyak dan gas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mengenai lawatan itu Kin Shin menambah, ia bagi menjalin hubungan rapat dan berkongsi pengalaman dengan Petronas Carigali Sdn Bhd Wilayah Sarawak.

Syarikat itu tambah Kim Shin mempunyai kepakaran dalam soal pengangkutan dan logistik seperti operasi helikopter, sokongan luar pesisir dan sebagainya.

Malah, syarikat itu juga mengamalkan Sistem Logistik Bersepadu dan Sistem Penjejakan Kapal (VTS) serta pusat kawalan untuk memantau pergerakan bahan, aset dan kapal.

Beliau menarik perhatian bahawa Petronas Carigali Sdn Bhd juga mempunyai SOP terperinci berkaitan keselamatan.

Sehubungan itu, kementeriannya akan mempelajari amalan terbaik Petronas Carigali Sdn Bhd dalam merumus polisi pengangkutan dan SOP syarikat terbabit.

“Kerjasama kedua-dua pihak dapat memberi manfaat bersama sebagai contoh dalam bidang-bidang yang berpotensi seperti keselamatan pengangkutan air dan pengangkutan bandar,” jelasnya.

Rombongan disambut oleh Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak Oil Morris Mail.