KUCHING: Program pensijilan baharu myGAP.AM pemeliharaan lebah dan kelulut bukan hanya fokus terhadap penternakan kelulut tetapi penternakan lebah.

Program pensijilan amalan pertanian baharu telah diperkenal dalam Majlis Pelancaran Pensijilan Pemeliharaan Lebah dan Kelulut di sini, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai Lian Kuet berkata, pengusaha lebah dan kelulut yang mendaftar akan dibekalkan dengan buku Dokumen Pengusaha myGAP. AM sebagai rujukan dan panduan.

“Pembangunan dokumen Pensijilan myGAP. AM berpandukan beberapa piawaian untuk madu dan pemeliharaan kelulut. “Piawaian ini merangkumi aspek keperluan kualiti, pensampelan, penyertaan sampel ujian, kaedah ujian, kebersihan, pembungkusan dan pelabelan,” katanya.

Menurutnya, piawaian ini sangat penting bagi memastikan kualiti madu tulen, berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan pengguna serta boleh dieksport ke luar negara.

Selain itu, ia bagi memastikan pengusaha yang memohon pensijilan mengikut prosedur yang betul dan memenuhi syarat bagi mendapatkan sijil.

Katanya, kursus pengauditan ladang dilaksanakan pada awal September lalu dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia dan dihadiri 40 pegawai Jabatan Pertanian Sarawak.

“Kursus ini dilaksanakan untuk memastikan pegawai sangat kompeten dan berpengetahuan dalam membimbing pengusaha lebah dan Kelulut yang berminat untuk mendapat pensijilan myGAP. AM,” ujarnya.

Untuk rekod, terdapat 296 usahawan di Sarawak yang terlibat dalam perusahaan penternakan madu dan kelulut. Sehingga hari ini, terdapat 10 pengusaha kelulut yang mendaftar untuk mendapatkan pensijilan.

“Saya ingin menggesa pengusaha lebah dan kelulut untuk memohon pensijilan dengan memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Bagi pengusaha lebah dan kelulut yang berminat, permohonan pensijilan boleh dibuat melalui Pejabat Pertanian Daerah berdekatan.

“Saya berharap ia dapat membantu pengusaha dalam memastikan amalan pertanian baik dan meningkatkan kualiti madu yang dihasilkan sekali gus memperkasakan industri penternakan lebah dan kelulut, khususnya di Sarawak,” ujarnya lagi.