SIBU: Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Sibu telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menjaga kebajikan ahlinya yang telah bersara, kata pengerusinya Yong Sie Hing.

Beliau berpendapat, bersara bukan bermaksud berakhirnya kerjaya tetapi menandakan bermuyla bab baharu dalam kehidupan.

“Untuk tahun ini, kami mempunyai 35 ahli yang telah bersara. STU Bahagian Sibu telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menjaga kebajikan ahli yang telah bersara,” kata Yong pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-17 STU Bahagian Sibu di sini, baru-baru ini.

Beliau juga mengatakan terdapat 65 anak-anak ahli yang mendapat insentif pendidikan. Daripada 65 penerima, 24 untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 35 untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lima untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan satu untuk GCE.

“Pada masa depan, STU berharap dapat bekerjasama dengan universiti atau kolej tempatan untuk memberi biasiswa khas kepada anak-anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang di universiti atau kolej,” katanya lagi.

Yong mendedahkan bahawa terdapat dua pertandingan antara 20 Julai 2019 dan 31 Mac 2020, iaitu pengambilan ahli baharu dan skim insurans STU. Naib Presiden STU Zon Tengah Adam Prakash juga turut bercakap pada majlis tersebut.