KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersenarai antara 10 lapangan terbang terkemuka di dunia, demikian menurut hasil tinjauan global terbaharu Airport Service Quality (ASQ) yang menjadi penanda aras bagi segmen berkenaan.

Malah, KLIA telah melonjak ke kedudukan ke-9 bagi separuh pertama 2020 berbanding tempat ke-17 pada tahun lepas bagi lapangan terbang yang mempunyai kapasiti serupa meskipun dalam keadaan yang mencabar.

KLIA turut mencatat skor keseluruhan yag lebih baik pada 4.94 daripada 5.00 berbanding 4.69 sebelum ini, kata pengendali lapangan terbang tersebut, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini.

Lapangan terbang itu mencatat angka penuh 5.00 dari segi kepuasan menyeluruh oleh penumpang perniagaan serta mereka yang bercuti; meraih skor 4.99 bagi kebersihan terminal lapangan terbang serta 4.97 untuk aspek ketersediaan bilik air.

ASQ merupakan program kendalian Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang menetapkan ciri-ciri garis panduan standard perkhidmatan, protokol dan operasi untuk lapangan terbang di serata dunia.

“Walaupun dalam persekitaran mencabar susulan pelaksanaan ketetapan normal baharu dalam operasi lapangan terbang, keseluruhan komuniti lapangan terbang telah memaparkan semangat kerjasama yang kukuh dan bersatu bagi melonjakkan prestasi perkhidmatan KLIA di mata dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Beliau berkata kumpulan itu telah melaksanakan usaha penambahbaikan yang pesat menerusi kempen ‘#1improvement1week’ sejak Februari 2018 di semua lapangan terbang kendaliannya di seluruh negara.

“Sejajar dengan kedudukan sebagai lapangan terbang dan pintu masuk utama ke dalam negara ini, kebanyaka usaha itu bertumpu di KLIA. Pada tahun ini, kita telah berjaya melaksanakan 30 penambahbaikan KLIA setakat ini.

“Bagi tahun ini, kita banyak menumpukan aspek inisiatif keselamatan yang menjadi antara usaha untuk menerapkan semula keyakinan terhadap perjalanan udara,” katanya.

Kesemua inisiatif-inisiatiif itu telah menyumbang kepada peningkatan kepuasan penumpang sebagaimana keputusan awal ASQ bagi suku ketiga 2020 yang menunjukkan skor kepuasan keseluruhan tersebut telah meningkat kepada 4.96.