KUCHING: Tiga jenis Klinik Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu klinik bergerak, statik dan transit diwujudkan bagi membantu penduduk pedalaman, jelas Pakar Oftalmologi Dr. Chieng Lee Ling.

Menurutnya, Sarawak merupakan salah satu negeri yang sukar diakses untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan mata di hospital terutamanya kawasan luar bandar.

“Klinik bergerak ini melibatkan bas KKM iaitu kami membawa semua peralatan untuk rawatan katarak.

“Kebanyakan hospital di daerah boleh melakukan operasi pembedahan katarak tetapi tiada peralatan yang sesuai kerana semua peralatan tersebut dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Hari Penglihatan Sedunia 2020 secara maya di SMA-Tegas, Icom Square di sini, pada Khamis.

Lee Ling menjelaskan, klinik bergerak ini diwujudkan pada 2013 dan telah beroperasi sehingga ke Betong, Sri Aman dan Saratok.

Katanya, bagi klinik statik pula, ia merupakan pusat rawatan di bangunan kedai. Pesakit tidak perlu ke hospital untuk mendapat-kan rawatan tetapi ke pusat ini untuk melakukan pembedahan katarak, jelasnya.

“Ketiga adalah KKKKM transit. Disebabkan keadaan jalan raya di Sarawak, bas tidak dapat tiba di Lawas kerana perlu melalui Brunei.

“Maka di zon utara, kita tiada kaedah yang bersesuaian selain transit. “Kami mengumpul semua peralatan untuk diterbangkan ke Lawas, Limbang, Marudi dan melakukan pembedahan katarak di sana,” jelas beliau.

Dalam hal berkaitan, Lee Ling memaklumkan bahawa mereka turut menyediakan saluran Youtube untuk men-didik dan menguar-uarkan kesedaran mengenai penjagaan mata.

“Kebanyakan penduduk di pedalaman sudah mempunyai telefon bimbit dan menonton video serta filem pendek yang disediakan di dalam saluran Persatuan Oftalmologi HUS agar mereka boleh belajar daripada saluran itu mengenai penjagaan mata,” tambahnya.

Beliau turut mendedahkan terdapat lima klinik untuk melakukan pembedahan katarak iaitu di HUS, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Kelima-lima klinik ini boleh melakukan pembedahan katarak tetapi untuk di HUS, kami akan pergi ke kawasan lain seperti di Bau, Serian, Sri Aman, Betong dan Saratok,” katanya selain menjelaskan mereka turut pergi ke Kapit untuk melakukan pemeriksaan katarak.

Bagaimanapun jelasnya, pemeriksaan katarak terpaksa dihentikan sementara di kawasan tersebut disebabkan penularan wabak Covid-19.