SERIAN: Kontraktor kelas D, E dan F perlu merebut projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais berkata, projek tersebut boleh diperoleh daripada semua Adun Sarawak.

Katanya bagi RTP, sebanyak RM5 juta diperuntukkan setahun manakala MRP sebanyak RM3 juta setahun, yang pastinya membuka peluang kepada kontraktor untuk mendapatkan projek.

“Walaupun banyak projek dahulu dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita masih lagi ada peluang mendapatkan projek di bawah Kerajaan Sarawak melalui peruntukan yang diberi kepada Adun.

“Dengan jumlah peruntukan RTP dan MRP sebanyak RM8 juta, ia boleh memberi lebih kurang 60 hingga 100 projek, bergantung pada jumlah projek yang diperoleh wakil rakyat.

“Inilah satu-satunya peluang yang harus direbut terutama oleh kontraktor kelas D, E dan F,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Usahawan Kontraktor Siri 12 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sebuah hotel di sini, pada Khamis.

Menjelas lanjut, Naroden juga Adun Gedong berkata, bagi projek bernilai RM1 juta ke bawah, ia melalui cabutan undi oleh Pejabat Daerah.

Manakala projek bernilai lebih RM1 juta dan kurang daripada RM2 juta akan ditender di peringkat bahagian, sementara yang bernilai lebih RM2 juta akan ditender di peringkat negeri.

Beliau menambah, satu lagi peluang harus direbut kontraktor ialah projek membaiki rumah, melalui peruntukan RM1 juta setahun yang diberikan kepada Adun dan Ahli Parlimen.

“Maksimum ialah RM15,000 (harga projek bagi sebuah rumah). “Walaupun kedengaran kecil tetapi kalau dapat buat banyak rumah, pasti ada pendapatan,” katanya.