KAPIT: Mayat lelaki warganegara Britain ditemui sudah kembung dan mulai membusuk di sebuah rumah di Taman Kapit petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Ian William berusia 66 tahun dipercayai mati beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian Stanislaus berkata, semasa ditemui mayat terbabit tanpa pakaian dan dijumpai dalam keadaan terlentang di dalam bilik mandi.

“Mayat terbabit ditemui oleh anak saudara isteri mangsa yang merupakan pengadu kes ini ketika pergi mengunjungi rumah terbabit sekitar jam 4.30 petang.

“Terdahulu, pengadu mendapati keadaan rumah sunyi dan berbau busuk sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati pengadu.

“Mangsa dikatakan tinggal bersendirian di rumah terbabit, manakala isterinya berada di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya lagi, pengadu yang tidak sedap hati kemudian memeriksa rumah terbabit dan terkejut melihat mayat mangsa berada di dalam bilik air di tingkat atas rumah.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan mayat tersebut sekitar jam 6.08 petang hari yang sama,” ujarnya.

Menurut Freddy, siasatan awal polis mendapati si mati tinggal di rumah tersebut berseorangan kerana isterinya ke Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dan ke atas mayat mendapati tiada penemuan berunsur jenayah.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Kapit untuk bedah siasat,” ujar beliau.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan bedah siasat dilakukan.