SPAOH: Koperasi Apong Saribas Berhad berkolaborasi dengan Kumpulan Penyelidikan Apong (ARG) dari Unimas menghasilkan dua produk berasaskan nipah iaitu madu dan cuka.

Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Unimas Rasli Muslimen berkata, projek tersebut dibiayai oleh Unimas, Teraju dan Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak.

“Madu Apong Borneo dan Cuka Apong Borneo antara yang dikeluarkan. “Idea ini untuk membantu komuniti di sini menjana pendapatan agar mereka mampu meningkatkan taraf hidup masing-masing,” katanya sambil menambah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga membenarkan Stesen Pertanian Spaoh digunakan sebagai kilang bagi operasi projek tersebut.

Rasli menjelaskan, ARG membangunkan dan mempatenkan dapur memasak kawalan digital hibrid untuk memproses nira apong mentah menjadi madu.

“Kami memerlukan sekitar enam bulan untuk membuat persiapan termasuk menaik taraf premis di Stesen Pertanian Spaoh.

“Dalam masa yang sama mendapatkan pensijilan standard Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), selain Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Sistem Kawalan Kritikal (HACCP) serta sijil halal untuk pengeluaran produk. “Sejurus semua selesai, kami akan memulakan operasi,” ujarnya yang juga anak tempatan berasal dari Spaoh.

Rasli menambah, selain gula apong yang dihasilkan secara tradisional menggunakan dapur kayu, aspek kebersihan yang menjadi isu utama akan juga ditangani.

“Justeru, proses pengeluaran yang diperkenalkan kelak menggunakan teknologi tinggi dengan aspek kualiti dan kebersihan diyakini jauh lebih baik.

“Seperti yang saya sebutkan, dapur memasak yang digunakan dikawal secara digital,” tegasnya.

Katanya lagi, madu apong akan menjadi pengganti gula yang baik, sementara cuka apong dapat digunakan dalam penyediaan makanan.