KUCHING: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis setelah dipercayai dalang kes kebakaran Surau Darul Fadzlillah dan perbuatan khianat Tabika KEMAS di Kampung Gita Laut, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, suspek merupakan seorang penghidap masalah mental yang juga penduduk asal di kampung berkenaan.

Menurutnya, saksi melaporkan suspek dilihat cuba melakukan khianat dengan membakar surau tersebut sebelum kejadian disedari oleh warga kampung sekitar jam 7. 53 pagi.

“Suspek berjaya ditahan oleh warga kampung dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Beliau(suspek) kini berada di Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.

TERBAKAR…Kebakaran di Surau Darul Fadzlillah disedari awal oleh penduduk dan berjaya dipadamkan

“Difahamkan suspek mengalami tekanan perasaan dan masalah mental sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dimana beliau selalu membuat kacau di rumahnya,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati kebakaran telah memusnahkan beberapa peralatan surau termasuk kabinet ,PA sistem, sejadah dan kerosakan di dalam surau.

Sementara itu katanya, kejadian di Tabika yang berhampiran dengan surau menyaksikan pokok bunga serta barangan landskapnya dicabut manakala tanah di dalam pasu ditaburkan berselerak di kawasan halaman tabika tersebut.

Dedahnya, kejadian tersebut disedari oleh guru pengajar di tabika tersebut yang hadir ke lokasi kejadian untuk rutin harian.

Susulan itu katanya, kedua-dua kes kini dalam siasatan masing-masing di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 KK.

Awang Din dalam pada itu turut menegaskan kepada orang ramai untuk mematuhi prosuder operasi standard(SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) khususnya penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

HANCUR…Keadaan halaman Tabika KEMAS di Kampung Gita Laut akibat perbuatan khianat